Lelaki terselamat selepas 5 hari hanyut di laut, paut pelampung pukat

Lelaki terselamat selepas 5 hari hanyut di laut, paut pelampung pukat

Lelaki Vietnam itu diselamatkan selepas bot dinaikinya karam berhampiran Pulau Nam Du, sebelum hanyut 147 batu nautika.

Mangsa berusia 41 tahun, Le Hoang Em yang ditemui tanpa sebarang pakaian, diselamatkan kapal Express 93 pada kedudukan 107.2 batu nautika dari muara Tok Bali hari ini. (Gambar Facebook)
PASIR PUTEH:
Seorang lelaki warga Vietnam yang hanyut kira-kira lima hari lepas ditemui selamat oleh sebuah kapal tempatan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Tok Bali, dekat sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Kelantan, Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, Le Hoang Em, 41, diselamatkan kapal Express 93 pada kedudukan 107.2 batu nautika dari muara Tok Bali kira-kira 11.30 pagi.

“Kapal berkenaan mengambil langkah sewajarnya dengan mematuhi SOP bagi mengekang jangkitan Covid-19 sebelum membawa mangsa naik ke atas kapal.

“Mangsa juga disyaki mengalami hipotermia semasa dibawa naik ke atas kapal dengan suhu badan 34 darjah celsius, namun berjaya distabilkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ketika ditemui, mangsa berpaut pada pelampung pukat dan tidak memakai sebarang pakaian.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata hasil perbualan awal, mangsa memaklumkan dia bekerja dengan sebuah bot yang mempunyai enam kru termasuk tekong.

“Bot yang dinaikinya dikatakan telah karam lima hari lepas berhampiran Pulau Nam Du, Vietnam sebelum dihanyutkan sejauh kira-kira 147 batu nautika hingga ke lokasi dijumpai.

“Mangsa dibawa masuk ke Jeti Tok Bali Supply Base pada 9.30 pagi tadi dan dihantar ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku untuk menjalani ujian calitan Covid-19 serta pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, APMM akan menjalankan siasatan bagi meneliti kejadian sebenar kerana mangsa dijumpai di kawasan perairan negara, malah mendakwa bot dinaikinya bersama enam kru telah karam sejak lima hari lepas.

“Setelah selesai, mangsa dijangka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk proses selanjutnya,” katanya sambil memberitahu Kedutaan Vietnam di Malaysia telah dimaklumkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.