
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk membina 14 kawasan takungan air di sepanjang Sungai Muda bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk rakyat Kedah dan pesawah padi di sepanjang sungai itu -langkah yang berpotensi mengurangkan bekalan air ke Pulau Pinang dan 1.7 juta penduduknya.
Kira-kira 80% air Pulau Pinang diekstraksi dari bahagian Sungai Muda yang mengalir ke negeri itu.

Presiden Persatuan IKS Malaysia, Michael Kang berkata, apa-apa langkah untuk mengurangkan bekalan ini “pasti akan mempengaruhi” sektor pembuatan negeri itu – yang menyumbang sekitar 43% kepada KDNK negeri.
“Air adalah salah satu faktor penting dalam pembuatan, yang merupakan industri utama di negeri itu,” katanya kepada FMT.
“Ini terutamanya pembuatan elektronik, yang memerlukan banyak air dan merupakan industri yang sangat besar di Pulau Pinang,” katanya, yang menggesa kedua-dua kerajaan negeri supaya duduk berbincang dan mencari penyelesaian.
Produk elektronik dan elektrik menghasilkan bahagian terbesar daripada jumlah eksport Malaysia pada tahun 2020 sebanyak 39.4% (RM386.11 bilion) menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), meningkat 3.5% berbanding 2019.
Awal bulan ini, InvestPenang, cabang pelaburan kerajaan negeri, mengumumkan bahawa sejumlah RM14.1 bilion pelaburan diluluskan bagi sektor pembuatan negeri pada 2020 – kurang daripada RM16.9 bilion pada 2019.
Jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan di Pulau Pinang, terutamanya berkait dengan industri utama yang dipromosikan, iaitu industri elektronik dan elektrikal, mesin dan peralatan, peralatan saintifik dan alat ukur (termasuk alat perubatan).

Bercakap kepada FMT, pengarah urusan Chemdyes Sdn Bhd, iaitu pengeluar dan pengedar kimia tekstil yang berpusat di Kawasan Perindustrian Prai, menekankan bahawa gangguan bekalan air akan memberi kesan negatif kepada perniagaan di mana-mana negeri sekalipun.
“Perjanjian terakhir antara Kedah dan Pulau Pinang mengenai isu ini adalah pada 1973, jadi kedua-dua pihak harus berdialog dan kembali kepada apa-apa yang betul dari segi perlembagaan negara,” kata Joe Sidek kepada FMT.
Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) berkongsi pandangan Joe, dengan meminta kedua-dua kerajaan negeri bertemu di meja rundingan.
“Kami berharap mereka dapat duduk dan membincangkan perkara itu untuk mencapai penyelesaian yang baik,” kata ketua FMM Pulau Pinang, Jimmy Ong.
Pada Khamis, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, negeri ini mengekstrak air mentah dari Sungai Muda sejak tahun 1973 dan mempunyai hak untuk terus melakukannya kerana ia tidak pernah menandatangani perjanjian untuk membayar Kedah untuk sumber tersebut.
Sanusi berkata, Kedah merancang untuk membina sistem Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dengan 14 tangki sedalam 20 hingga 30m dan selebar satu kilometer di sepanjang Sungai Muda.
Empangan baru akan dibina untuk mengurangkan aliran sungai, dan Sanusi memperingatkan bahawa Pulau Pinang harus “bersiap” untuk menyedut lumpur dari hujung Sungai Muda (di Kepala Batas) jika ia tidak membayar ganti rugi kepada Kedah bagi air yang diambil dari sungai .

Abdul Malik Abdullah, presiden Pro Business Survival Group berkata, rakyat Kedah juga bergantung pada pekerjaan yang diwujudkan oleh sektor pembuatan Pulau Pinang dan langkah Sanusi ini sebenarnya memakan diri.
Malik, yang mengetuai gabungan 262 persatuan perniagaan dan dewan perdagangan yang terdiri daripada hampir satu juta syarikat, juga meminta ahli politik Kedah supaya melihat masalah ini melalui kanta negara, bukannya menganggapnya sebagai aset negeri semata-mata.
“Bagaimana jika orang di Pulau Pinang pula berkata: ‘Lihat, kita tidak akan mengambil kakitangan atau mengambil pekerja dari negeri Kedah’,” katanya kepada FMT.
“Apakah yang berlaku sekiranya negeri minyak seperti Terengganu, Sarawak dan Sabah berkata: ‘Lihat, ini adalah minyak negeri kita dan kita tidak akan membekalkannya ke seluruh negara’. Itu tidak masuk akal.
“Jadi dengan cara yang sama, air adalah sumber semula jadi. Ya, negeri mempunyai kawalan terhadap air dan tanah, tetapi pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri (Kedah) sekarang tidak baik untuk perniagaan dan tidak baik untuk negara.”