Finas kaji semula lesen penggambaran elak kejadian Gua Matsoorat berulang

Finas kaji semula lesen penggambaran elak kejadian Gua Matsoorat berulang

Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid berkata penilaian semula akan dilakukan sekiranya penggambaran melibatkan lokasi khazanah negara.

Pengguna Facebook sebelum ini mengongsikan gambar kerosakan termasuk ukiran tajuk drama itu pada dinding gua.(Gambar Facebook)
IPOH:
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan menilai semula pengeluaran lesen Surat Perakuan Penggambaran (SPP) ekoran dakwaan berlaku kerosakan pada fosil berusia jutaan tahun selepas sebuah syarikat produksi mengadakan penggambaran di Gua Matsoorat baru-baru ini.

Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid berkata penilaian semula SPP akan dilakukan sekiranya pihak produksi ingin melakukan penggambaran di lokasi yang mempunyai khazanah negara bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

“Saya telah menyarankan bahagian penguatkuasaan Finas untuk menilai semua SPP yang telah kita keluarkan. Kita kena lihat kawasan mana yang mereka ingin melakukan penggambaran.

“Kalau kawasan itu sensitif dari segi khazanah negara seperti khazanah prasejarah dan sebagainya, kita seharusnya menilai semula pengeluaran lesen SPP untuk memastikan perkara seperti ini tidak lagi berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Bengkel Hakcipta dan Bikin Video Muzik di Dewan Bandaran Ipoh anjuran bersama Luncai Emas Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Ipoh, Finas dan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) di sini hari ini.

Dakwaan berhubung kerosakan itu tular di media sosial selepas penggambaran sebuah drama popular selain kru produksi dikatakan membuang sampah merata-rata dengan perkongsian beberapa keping gambar menunjukkan antara lain ukiran nama tajuk drama terbabit pada dinding gua.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata pihaknya turut kecewa dengan insiden pencerobohan yang berlaku dan akan mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil selepas mendapat laporan penuh berhubung perkara itu.

Beliau berkata Finas masih menjalankan siasatan dan sedang menunggu laporan penuh daripada pihak produksi bagi mendapatkan penjelasan.

“Saya juga diminta oleh pihak menteri untuk mendapatkan cerita sebenar berkaitan perkara ini. Ini satu pencerobohan khazanah negara dan sepatutnya kru produksi harus berhati-hati,” katanya.

Terdahulu, Zakaria meninjau Bengkel Hakcipta dan Bikin Video Muzik yang merupakan sebuah program pembangunan insan oleh Finas bagi memberi pendedahan serta idea kepada peserta terutama anak muda mengenai cara pembikinan video muzik, penerbitan, penyuntingan dan kepentingan hak cipta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.