UAE akan bantu Malaysia segerakan inisiatif MyDigital, kata Muhyiddin

UAE akan bantu Malaysia segerakan inisiatif MyDigital, kata Muhyiddin

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata Emiriah Arab Bersatu akan membantu Malaysia menyegerakan inisiatif MyDigital yang dilancarkan bulan lalu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Sukan Pagoh untuk melancarkan program Jom Ke Sekolah Parlimen Pagoh dan DUN Gambir berserta Program CSR Pendidikan Yayasan Pelajaran MARA, hari ini.
PAGOH:
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memaklumkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan membantu Malaysia dalam menyegerakan inisiatif MyDigital yang dilancarkan bulan lalu bagi menyediakan rangkaian internet ke banyak tempat di negara ini.

Muhyiddin berkata, ia adalah hasil pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan pada 11 Mac lalu.

“Ketika pertemuan dengan Putera Mohamed saya sebutkan mengenai masalah gangguan kepada anak-anak disebabkan pandemik dan ramai pelajar Malaysia tak boleh pergi ke sekolah serta tidak boleh belajar di rumah kerana tidak ada peranti komputer, ‘laptop’ dan sebagainya.

“Saya maklumkan bahawa Malaysia sudah memulakan membuat persiapan untuk lancarkan pendidikan digital dan ini memerlukan bantuan serta sokongan dari segi peruntukan dan sebagainya.

“Lantas sebelum saya sempat selesai bercakap, orang yang dihadapan saya ini Crown Prince (Putera Mahkota), orang yang terkaya di dunia jawab, semuanya beres, ‘all done’.

“Apakah yang dimaksudkan dengan ‘done’? Kalau kita berbincang dan dia kata ‘beres’, maknanya dialah tanggung bukan saya yang tanggung,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada Program Jom Ke Sekolah Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir berserta Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pendidikan Yayasan Pelajaran MARA, di Kompleks Sukan Pagoh di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, hasil pertemuan itu UAE mungkin akan membantu Malaysia menyegerakan program MyDigital yang dilancarkan baru-baru ini.

Pada 11 Mac lalu, Muhyiddin melancarkan Inisiatif MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara, termasuk Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Katanya, MyDigital menetapkan gabungan inisiatif dan sasaran merentasi tiga fasa pelaksanaan sehingga tahun 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.