Presidennya Jeffrey Kitingan, yang juga timbalan ketua menteri Sabah merujuk kenyataan pengarah strategik PAS, Khairuddin Aman Razali yang tidak meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai faktor penting ketika menyuarakan sasaran parti Islam itu untuk mendapatkan majoriti dua pertiga dalam PRU15.
“Beliau seharusnya melihat pendekatan untuk menguatkan hubungan dengan Sabah dan Sarawak sebagai strategi kerana keduanya masih berkemungkinan menjadi ‘kingmakers’ dalam PRU 15 nanti,” katanya kepada FMT.
Ketika meluahkan aspirasi PAS itu dalam hantaran di Facebook semalam , Khairuddin yang juga anggota Jawatankuasa PAS Pusat berkata, selepas memenangi PRU15 kelak, persempadanan kawasan pilihan raya boleh diubah untuk kepentingan orang Melayu- Muslim.
Beliau berkata, jumlah kerusi Parlimen di negeri dengan majoriti kumpulan itu juga boleh ditambah.
“Kita boleh capai sasaran ini dengan menguatkan ikatan antara tiga parti Melayu biarpun berdepan cabaran.
“Pertandingan satu lawan satu adalah penting bagi memenangi PRU15,” kata Khairuddin.
Kitingan bersetuju dengan pandangan Khairuddin bahawa lebih banyak waktu diperlukan seandainya (PN) mahu menang dengan majoriti dua pertiga.
“Kita tidak mempunyai banyak masa lagi sekiranya pilihan raya diadakan tahun ini.
“Waktu yang tepat adalah ia diadakan pada penghujung penggal, mungkin tahun depan,” kata beliau.
Upko kecam cadangan PAS
Sementara itu Naib Presiden Upko, Ewon Benedick mengecam cadangan Khairudin berkenaan persempadan kawasan pilihan raya yang akan menguntungkan orang Melayu-Muslim.
Beliau mengingatkan pemimpin PAS itu bahawa Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, tidak hanya kelompok tertentu sahaja.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian (Adun) itu berkata, cadangan berkenaan adalah keterlaluan dan bercanggah dengan semangat berbilang bangsa di negara ini.
“Jika ini mengambarkan perjuangan PAS dalam kerajaan pusat sekarang, maka sangat jelas bahawa PN tidak peduli akan nasib semua bangsa seperti didakwa sebelum ini,” kata beliau dalam satu kenyataan .
“Kenyataan PAS itu bahaya untuk Sabah dan Sarawak. Saya tidak pasti pendirian PBS, STAR, PBRS dan SAPP yang menjalin kerjasama dengan parti itu melalui Gabungan Rakyat Sabah and PN.
“Adakah mereka akan bantu PAS merealisasikan impiannya?
“Nampaknya suara mereka pun tidak mampu untuk menghentikan pengaruh PAS dalam pentadbiran kerajaan sekarang,” kata beliau.
Tegas Benedick, Upko menentang sekeras-kerasnya cadangan itu kerana percaya bahawa Sabah bersetuju membentuk Malaysia pada 1963, bukan kerana untuk kepentingan satu bangsa semata-mata.
Katanya, cukuplah dengan persempadan kawasan pilihan raya di Sabah pada 1993 yang mengubah landskap politik negeri itu sehingga sekarang.