Rancangan Kedah bina takungan di sepanjang Sungai Muda langkah baik, kata SPAN

Rancangan Kedah bina takungan di sepanjang Sungai Muda langkah baik, kata SPAN

Pengendali air negara itu berkata cadangan Kedah hanyalah untuk menakung limpahan banjir dan kemudian melepaskannya ke sungai ketika musim kemarau.

Pulau Pinang mengabstrak air mentahnya dari Sungai Muda yang melalui wilayahnya sebelum mengalir ke laut berhampiran Butterworth untuk dibekalkan kepada 80% penduduknya. (Gambar PBA)
GEORGE TOWN:
Pengendali perkhidmatan air negara hari ini menyambut baik rancangan Kedah membina takungan simpanan air di sepanjang Sungai Muda bagi menakung lebihan air hujan untuk digunakan pada musim kemarau.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata asasnya Kedah merancang “takungan hiliran”, berfungsi menakung sejumlah besar air ketika musim tengkujuh.

Beliau mengakui berkemungkinan projek seperti itu akan memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang tetapi projek tersebut memerlukan persetujuan kementerian alam sekitar dan air.

Katanya ia bukan di bawah bidang kuasa SPAN.

“Kami diberitahu 90% air sungai mengalir ke laut sepanjang musim hujan. Biasanya, kita menggunakan hanya 5% hingga 10% (air) dari aliran sungai.

“Jadi, menyimpan air yang mencukupi adalah langkah yang baik untuk bertahan selama satu hingga tiga bulan sebagai simpanan ketika kecemasan. Air ini lambat laun akan hilang ke laut juga.

“Sistem ini bukan sahaja berfungsi sebagai penyimpanan air, tetapi juga dapat mengawal banjir,” katanya kepada FMT.

Faizal berkata pengurusan sumber air masih berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan apa yang diumumkan mungkin telah dikaji oleh pihak berwajib.

“Kajian yang betul akan dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) atau kementerian yang berkaitan sebelum sesuatu projek dipersetujui,” katanya.

Faizal berkata apa yang dilakukan Kedah sama dengan “Horas” atau ‘Hybrid off River Augmentation System’, yang sedang dilaksanakan di Selangor.

Sistem Horas adalah kaedah penakungan air hujan dan air bawah tanah yang dialir terus ke Lembangan Sungai Selangor, menurut portal kerajaan Selangor.

Kedah merancang membina projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), dengan 14 takungan besar berkedalaman 20m hingga 30m dengan lebar sehingga 1km di sepanjang Sungai Muda.

Selain itu, baraj baharu akan dibina untuk memastikan pam Syarikat Air Darul Aman (SADA), tidak tergantung pada musim kemarau akibat kekurangan air dan dapat menakung air yang secukupnya untuk mengairi penanaman padi serta dibekalkan kepada penduduk.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, ketika mengumumkan projek tersebut, memberitahu Pulau Pinang untuk bersedia mengabstrak hanya lumpur dan selut jika enggan membayar caj air mentah kepada Kedah.

Pulau Pinang menegaskan bahawa ia secara sah mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa membayar Kedah dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk menghentikan projek TAPS.

Pulau Pinang mengabstrak air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke wilayahnya di Kepala Batas dan merawatnya di Butterworth, sebelum disalurkan kepada 80% penduduknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.