Alasan Saravanan kepada ILO ‘tak munasabah’

Alasan Saravanan kepada ILO ‘tak munasabah’

Kesatuan pekerja, Ahli Parlimen pertikai alasan darurat, anggap kerajaan mempunyai cukup masa untuk memberikan maklum balas.

M Saravanan mendakwa kementeriannya merancang membentangkan cadangan di Parlimen pada Mac seterusnya memberikan maklum balas kepada ILO pada Jun.
PETALING JAYA:
Alasan diberikan Menteri Sumber Manusia M Saravanan bahawa kegagalannya memberi maklum balas kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) disebabkan Parlimen digantung akibat darurat di negara ini dipertikaikan kesatuan sekerja dan Ahli Parlimen.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) J Solomon berkata, beliau “terkejut” dengan penjelasan menteri itu.

“Pada Persidangan ILO 2019, kerajaan Malaysia berjanji mematuhi tanggungjawabnya untuk menyerahkan maklumat berkaitan Konvensyen, Cadangan dan Protokol yang diterima pakai pada ILO sejak 2006 kepada Parlimen,” katanya.

“Parlimen digantung pada 12 Jan 2021, bukan sejak 2006. Dari Jun 2019 hingga permulaan Jan 2021 kerajaan boleh saja memenuhi janji itu.”

Dalam laporan “Application of International Labour Standards 2021”, ILO meletakkan Malaysia bersama beberapa negara lain dalam kategori “kegagalan serius” untuk menyerahkan laporan berhubung isu tertentu.

Susulan itu, Saravanan berkata kementeriannya sudah merancang membentangkan cadangan ILO itu serta semua perkara relevan berkaitan di Parlimen pada Mac lalu supaya dapat memberikan maklum balas pada Persidangan ILO Jun ini, namun terganggu akibat Parlimen tidak bersidang.

Satu daripada cadangan yang belum diberi maklum balas oleh Malaysia adalah C198 berkaitan hubungan pekerjaan yang diterima pakai pada Persidangan ILO ke-95 2006, manakala satu lagi melibatkan gangguan dan keganasan pada 2019.

Sehubungan itu, Solomon berkata, kerjasama kerajaan amat diperlukan untuk membolehkan semua pihak terlibat dalam pelaksanaan tahap pekerjaan antarabangsa, memandangkan sifat “tiga penjuru” ILO iaitu melibatkan pekerja, majikan dan kerajaan.

“Jika kerajaan gagal mematuhi tanggungjawab itu, ia turut menyukarkan peranan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) seterusnya menggugat kerjasama tiga hala ini. Kerajaan yang gagal dalam pematuhan ini sebenarnya memang sengaja enggan menghormati kerjasama tiga hala ini.”

Sementara itu, Charles Santiago dari DAP memberitahu FMT bahawa Saravanan perlu “mencari alasan lebih baik daripada sekadar menuding ke arah penggantungan Parlimen” memandangkan isu terlibat bukan perkara baharu.

“Tempohnya terlalu lama untuk mereka tidak memberi maklum balas. Ini memang kegagalan sistemik kerajaan, bukannya sesuatu yang ‘one-off’ dan tiada kaitan pun dengan Parlimen,” kata Ahli Parlimen Klang itu yang juga aktif mempertahankan hak pekerja.

Santiago turut mempertikaikan kenapa maklum balas tidak dapat diberikan terhadap permintaan ILO memandangkan kerajaan mempunyai kuasa begitu meluas bawah darurat, malah undang-undang masih boleh diwartakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.