
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD bermula 27 Mac hingga 9 April itu membabitkan Kampung Batu Gong dan Kampung Chupak di Kecil Siburan, Sarawak serta Taman Guru, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang susulan berlaku peningkatan kes mendadak.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memaklumkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti juga tinggi.
“Sejumlah 50 kes positif Covid-19 telah dilaporkan di Kampung Batu Gong. Manakala 338 ujian saringan juga telah dilakukan di Kampung Chupak dan daripada jumlah itu sebanyak 57 kes positif direkodkan.
“Sementara di Taman Guru, sebanyak 63 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata seramai 54 individu ditahan semalam kerana melanggar SOP.
Daripada jumlah itu, katanya, 53 dikompaun dan seorang direman.
“Antara kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (25), tidak memakai pelitup muka (17), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (6), tiada penjarakan fizikal (5) dan lain-lain (1),” katanya.