
Penjelasannya menyusul selepas ILO menyenaraikan Malaysia dalam kategori “kegagalan serius untuk menyerahkan” laporan Aplikasi Piawaian Buruh Antarabangsa 2021.
ILO berkata, Malaysia berulang kali gagal menyerahkan laporannya sejak beberapa tahun lalu.
Ia berharap Malaysia akan menjalankan tanggungjawabnya untuk menyerahkan konvensyen, cadangan dan protokol ILO, dengan merujuk khusus kepada Cadangan C198 dan C190 berkaitan hubungan pengambilan pekerja mengenai keganasan serta gangguan, kepada “pihak berkuasa yang cekap”.
Saravanan berkata, Kabinet sudah diberitahu mengenai cadangan itu sejurus ia diterima di Persidangan Buruh Antarabangsa pada 2006 dan 2019.
“Rancangan asal ialah menyerahkan instrumen ini ketika sidang Parlimen pada Mac 2021 untuk memudahkan pelaporan itu dalam Persidangan ILO 2021, yang dijadualkan berlangsung pada Jun 2021,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.
“Bagaimanapun, ia ditangguhkan akibat penggantungan sidang Parlimen. Dalam keadaan ini, ia akan dibentangkan pada sidang akan datang.”
Saravanan mengulangi komitmen kementeriannya untuk memastikan pematuhan ketat terhadap garis panduan ILO.
Katanya, kementeriannya berhasrat bekerjasama dengan ILO melalui Program Pekerjaan Layak Nasional (DWCP) mengenai hak di tempat kerja dan migrasi buruh.
“Selalunya, ini akan termasuk sesi libat urus, dialog sosial dan perbincangan teknikal mengenai pindaan undang-undang, buruh paksa, buruh kanak-kanak dan perlindungan untuk pekerja asing.”