Polis Sarawak tutup Gunung Tabai, elak aktiviti lombong haram

Polis Sarawak tutup Gunung Tabai, elak aktiviti lombong haram

Ini susulan kejadian seorang lelaki maut akibat tertimbus ketika melombong emas secara haram bersama dua rakan semalam.

Pesuruhjaya Polis Negeri Aidi Ismail berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Pejabat Daerah Bau bagi mencari jalan penyelesaian lebih menyeluruh berhubung insiden itu.
KUCHING:
Polis Sarawak akan menutup kawasan Gunung Tabai di Bau, kira-kira 40km dari sini, bagi mengekang aktiviti melombong emas secara haram di kawasan itu, kata Pesuruhjaya Polis Negeri Aidi Ismail.

Katanya, ini susulan kejadian seorang lelaki maut akibat tertimbus di dalam sebuah lubang, ketika beliau melombong emas secara haram bersama dua rakannya di gunung tersebut semalam.

Menurutnya, pihaknya juga akan berbincang dengan Pejabat Daerah Bau bagi mencari jalan penyelesaian lebih menyeluruh mengenai perkara tersebut.

“Saya dah minta polis di Bau untuk menutup kawasan itu supaya orang awam tidak lagi dibenarkan masuk. Kita lihat cara mereka melombong itu memang bahaya.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya menjaga diri masing-masing dan jangan ambil peluang untuk buat perkara yang boleh membahayakan diri sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Polis ke-214 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Mayat Mat Tapa, 26, ditemui tertimbus di bawah runtuhan batu dan tanah oleh pasukan mencari dan menyelamat, namun mayat itu masih belum dapat dikeluarkan.

Kerja-kerja membawa mayat keluar dari kawasan itu disambung pukul 8 pagi tadi kerana posisi dan kedudukan jasad yang tertimbus itu berada di lokasi berbahaya, disebabkan struktur galian yang tidak stabil, sekali gus membahayakan anggota penyelamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.