Keluar dari perairan atau ditahan, APMM beri amaran kapal berlabuh haram

Keluar dari perairan atau ditahan, APMM beri amaran kapal berlabuh haram

APMM berkata, 41 kapal dagang yang berdegil diberi notis empat jam untuk mengangkat sauh dan beredar.

Mulai esok, Ketua Pengarah APMM, Mohd Zubil Mat Som akan mengarahkan Pasukan Tindakan Khas menaiki kapal yang enggan beredar dari perairan Malaysia untuk menahan mereka yang bertanggungjawab. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memberi amaran keras kepada 41 kapal dagang yang berlabuh secara haram di perairan negara untuk beredar segera atau Pasukan Tindakan Khas akan menaiki kapal untuk menahan individu bertanggungjawab mulai esok.

Ketua Pengarahnya, Mohd Zubil Mat Som berkata, amaran itu dikeluarkan susulan tindakan APMM melancarkan Operasi Khas Jangkar Haram bagi membanteras aktiviti kapal dagang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur selama 10 hari, mulai semalam.

“Sehingga petang tadi, masih ada 41 kapal yang masih degil dan APMM akan beri notis empat jam untuk mengangkat sauh dan beredar, atau jika masih ingkar akan kami terbangkan helikopter dan turunkan Pasukan Tindakan Khas.

“Saya beri jaminan sepanjang 10 hari operasi ini dijalankan, kita dapat selesaikan isu ini dan perairan ini akan kosong dan hanya terdapat kapal dagang bersauh secara sah,” katanya selepas membuat tinjauan udara di perairan Johor Timur hari ini.

Zubil berkata, 11 aset penguatkuasaan digunakan sepanjang 10 hari Operasi Jangkar Haram diadakan, ia membabitkan lima kapal maritim, iaitu KM Perwira, KM Tegas, KM Sibuan, KM Niah dan KM Manjung, selain empat bot ronda.

“Kebiasaannya, kesalahan bersauh tanpa kebenaran di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) ini adalah kesalahan dikompaun, tetapi bagi kes dalam Operasi Jangkar Haram, saya mahu semua yang ditahan terus dibawa ke mahkamah.

“Kebanyakan alasan diberikan adalah tidak tahu tindakan itu satu kesalahan, selain tidak mengetahui had perairan laut wilayah di Johor dan itu alasan tidak logik dan tidak masuk akal, tiada lagi alasan.”

Mengikut rekod, APMM Johor menahan 24 kapal atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran sejak Januari lalu, dengan lima daripadanya dikompaun RM50,000 setiap satu yang keseluruhannya berjumlah RM250,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.