Jangan terlalu khuatir dengan Laporan Kebahagiaan Dunia, kata ahli akademik

Jangan terlalu khuatir dengan Laporan Kebahagiaan Dunia, kata ahli akademik

Laporan itu bukan ukuran sebenar kebahagiaan sesebuah negara, lagipun tidak banyak yang boleh diraikan semasa wabak, kata mereka.

PETALING JAYA:
Dua ahli akademik menasihati rakyat Malaysia agar tidak terlalu khuatir tentang kedudukan negara yang rendah dalam terbitan terbaru Laporan Kebahagiaan Dunia.

Madeline Berma dari Universiti Malaysia Sarawak mengkritik petunjuk yang digunakan dalam laporan tersebut, manakala Jessica Ong dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, berpendapat adalah tidak masuk akal untuk mengharapkan tahap kebahagiaan yang tinggi ketika wabak Covid-19 melanda.

Malaysia menduduki tempat ke-35 pada 2018, tetapi jatuh ke tempat ke-80 pada 2019 dan ke-82 tahun lalu.

Tahun ini, negara berada di kedudukan ke-81 antara 149 negara yang ditinjau.

Madeline Berma

Laporan itu yang ditaja oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), bertujuan mengukur sejauh mana rakyat sesebuah negara berpuas hati dengan kehidupan mereka.

Ia menggunakan petunjuk Gallup World Poll yang merangkumi pelbagai topik ekonomi, politik dan sosial seperti undang-undang dan ketenteraman, kesihatan diri dan rasuah.

Berma, yang juga pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, petunjuk seperti yang digunakan dalam laporan tersebut tidak dapat mengukur kebahagiaan sebenar sesebuah negara.

“Indeks itu hanya mengukur pelbagai petunjuk, tetapi kebahagiaan sebenar sesebuah negara tidak boleh diukur sebegitu,” kata beliau kepada FMT.

“Petunjuk itu hanya mengukur secara kuantitatif, bukan kualitatif. Petunjuk seperti misalnya perpaduan kaum tidak disertakan.”

Kata beliau, laporan itu tidak boleh dianggap seperti laporan pencapaian murid di sekolah. Murid yang menduduki tempat pertama dalam kelas tidak semestinya murid yang paling bijak.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa laporan itu dapat membantu kerajaan dalam merancang pendekatan holistik untuk pembangunan.

Ong pula berkata, beliau tidak melihat banyak yang boleh diraikan rakyat Malaysia sejak setahun lalu.

Beliau mengingatkan bahawa ramai yang kehilangan pekerjaan dan dipotong gaji, dan wabak yang sedang melanda mengakibatkan kegelisahan, tekanan dan kemurungan.

Jessica Ong

Laporan itu juga mengakui hal ini, dengan menyatakan edisi ke-9 dicorak oleh wabak, yang “menggoncang dan mengubah bentuk kehidupan” di seluruh dunia.

“Tiada siapa menjangkakan wabak (akan melanda), dan bukan senang untuk menyesuaikan diri,” kata Ong.

“Ramai pelajar memberitahu saya tentang tekanan yang mereka hadapi berkenaan pembelajaran dalam talian. Mereka berdepan masalah dengan internet dan tidak dapat berjumpa pensyarah mereka.

“Ini baharu pelajar. Bagaimana pula dengan warga emas yang tidak dapat keluar semasa wabak?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.