PAS boleh menang 2/3 kerusi Parlimen jika bekerjasama dalam MN, kata Nazri

PAS boleh menang 2/3 kerusi Parlimen jika bekerjasama dalam MN, kata Nazri

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, orang Melayu sudah melihat kesan dan akibat sekiranya kuasa parti Melayu dipinggirkan.

PETALING JAYA:
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nazri Aziz percaya cita-cita PAS untuk memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti dua pertiga hanya boleh dicapai menerusi Muafakat Nasional (MN), bukannya Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, hasrat PAS untuk membuat perubahan terhadap sempadan pilihan raya yang menguntungkan Islam-Melayu juga boleh dilakukan, selain beberapa perkara lain yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Bagus (dengan hasrat PAS), cumanya Umno bekerjasama dengan PAS di bawah MN barulah boleh dapat dua pertiga, bukannya dengan PPBM dan PN.

“Saya juga setuju pertembungan dua penjuru penting untuk memenangi PRU15,” katanya kepada FMT.

Nazri merujuk kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairuddin Aman Razali semalam mengenai impian PAS memenangi PRU15 dengan majoriti dua pertiga.

Katanya di Facebook, setelah kemenangan dicapai, perubahan sempadan pilihan raya yang menguntungkan orang Islam-Melayu serta pertambahan kerusi Parlimen di negeri majoriti Melayu boleh diusahakan.

“Laluan untuk mencapai impian itu ialah dengan terus memperkukuhkan muafakat umat antara tiga parti Melayu, walaupun berhadapan rintangan.

“Pertembungan dua penjuru adalah strategi penting untuk memenangi PRU15.”

PAS ketika ini menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat melalui penyertaan mereka dalam PN, yang diketuai Pengerusi PPBM, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Pada PRU14, PAS menurunkan lebih 100 calon di kerusi Parlimen dengan sasaran membentuk kerajaan atau menjadi “kingmaker”, namun hanya memenangi 18 kerusi.

Ditanya apa asas yang meyakinkannya PAS boleh memenangi dua pertiga kerusi sekiranya bekerjasama dalam MN, Nazri berkata, orang Melayu sudah melihat kesan dan akibat, sekiranya kuasa parti Melayu dipinggirkan.

“Pertamanya, di bawah Pakatan Harapan, yang DAP ada bersama, orang Melayu dilayan teruk, DAP memang ‘kerjakan’ orang Melayu dan orang Melayu kini juga sudah sedar yang PH tidak membantu Melayu.

“Sebenarnya, jika tidak ubah sempadan pilihan raya juga tidak mengapa, sekiranya PAS bekerjasama dalam MN juga sudah menguntungkan masyarakat Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.