KRU dari hip hop ke mahkota muzik

KRU dari hip hop ke mahkota muzik

Norman Abdul Halim berkongsi mengenai cabaran merintis genre hip hop di Malaysia.

PETALING JAYA:
Satu perjalanan yang cukup panjang dan berliku. Itulah yang paling tepat untuk menggambarkan kerjaya seni Normal Abdul Halim, salah seorang dari 3 bersaudara yang menubuhkan kumpulan hip hop pertama Malaysia, KRU.

Norman, Yusry, dan Edry berjuang demi lagu-lagu irama rap dan imej hip hop yang “kebaratan” bagi memasuki arus perdana industri muzik tempatan pada tahun 1990-an hingga 2000.

Sekatan dari radio dan televisyen milik kerajaan bermakna muzik yang dihasilkan KRU jarang dimainkan ke udara. Sembilan daripada 10 lagu dari album debut mereka “Canggih” diharamkan dari radio pada 1992.

Malah, konsert mereka turut diharamkan selepas mendapat bantahan dari beberapa ahli politik. KRU diperkatakan dengan begitu meluas sehingga ianya turut dibahaskan pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Kemunculan besar mereka menjadi realiti apabila Anwar Ibrahim, yang memangku jawatan perdana menteri ketika itu, mengumumkan KRU seharusnya dibenar meneruskan kerjaya muzik mereka.

Norman Abdul Halim ialah antara tiga adik beradik yang mencipta KRU dan membawanya ke puncak kejayaan.

Antara kontroversi ialah pada 1997 apabila KRU merakamkan semula Getaran Jiwa, lagu ciptaan dan nyanyian P Ramlee. KRU melakukan inovasi dengan menggunakan teknologi terkini waktu itu, merakamkan Getaran Jiwa dan menerbitkan klip video yang memaparkan mereka “berduet” dengan P Ramlee, pada waktu seniman agung itu sudah tiada.

Lalu kontroversi tercetus apabila ada pihak mempertikai KRU “berduet” dengan orang yang sudah meninggal dunia. Serangan ke atas kumpulan itu termasuk menggunakan “elemen agama”.

Ia terhenti dengan langkah Anwar dan campur tangan beliau membolehkan KRU terus berkarya dengan kreativiti mereka.

9 lagu diharamkan

Dalam perjalanan seni selama tiga dekad KRU, Norman dan dua adiknya, Yusri dan Edry, meninggalkan impak yang besar dalam industri muzik tempatan. Kegemilangan mereka merupakan satu simbol perubahan moden dalam budaya pop Malaysia.

Dalam temubual eksklusif FMT, Norman berkongsi cabaran yang dihadapi sebagai artis rakaman dan penghibur pada 1990 dan awal 2000.

Beliau berkata KRU berdepan permulaan yang sukar terutama dengan genre baharu yang cuba diperkenalkan mereka pada tahun tersebut. Tidak ramai yang menyokong, terutama dari stesen penyiaran RTM, yang merupakan agensi berpengaruh untuk muzik, filem, dan media pada 90-an.

“Kami mula menghasilkan muzik hip hop pada era rock. Pada ketika itu, rap masih sangat baru di Malaysia. Dari segi imej dan penjenamaan, semuanya memang berbeza.

“Ada yang suka, ada juga yang tidak. Secara jujur, lebih ramai yang tidak suka,” jelas beliau, sambil menambah KRU membawakan lagu-lagu menggunakan dua bahasa, satu hal yang jarang dilakukan pada ketika itu.

Sembilan dari 10 lagu dalam album debut mereka Canggih diharamkan dari radio pada 1992, kerana antara lain dikatakan mempromosi budaya Barat.

Akhirnya RTM bersetuju memainkan lagu mereka berjudul “2020”, tetapi tidak lama kemudian KRU diminta menggantikan lirik dalam lagu tersebut.

“Sebenarnya ia adalah lagu patriotik tetapi penyampaian muzik kami dalam irama rap. Lagu asalnya kami menggunakan kata ‘two-zero, two-zero’, kerana sebagai penyanyi rap kami inginkan sesuatu yang berlainan. Tetapi kemudian kami diminta untuk menukarnya ke dalam terjemahan Bahasa Melayu, ‘dua puluh, dua puluh’,” jelas Norman.

Selain karya ditapis, KRU juga berdepan kritikan dan persembahan mereka turut diharamkan, di mana 1997 merupakan tahun paling berat buat KRU apabila diharamkan selama tiga bulan.

Pada ketika itu, trio bersaudara itu dijadual mengadakan konsert di 15 lokasi di seluruh negara. Bagaimanapun, rancangan itu dibantah oleh beberapa ketua menteri yang menyatakan ianya bertentangan dengan ajaran Islam selain merosakkan nilai-nilai Timur rakyat di negara ini.

Norman berkata, banyak yang tergendala akibat bantahan tersebut, termasuk gaji kru penerbitan yang terlibat dalam konsert yang dijadualkan. KRU juga terpaksa membuat pinjaman bank untuk membeli kelengkapan untuk mengadakan konsert.

Penganjuran konsert tersebut turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Akhirnya Anwar memutuskan untuk berpihak kepada KRU – pengiktirafan kerajaan merupakan lonjakan terbesar dalam kerjaya KRU.

Itulah kali pertama mereka mula dikenali selepas beberapa tahun berdepan kritikan dan karya mereka turut ditapis.

Nama KRU semakin melonjak. Persembahan “live” mereka menarik ribuan penonton. Konsert 10 tahun KRU di Stadium Merdeka pada 2002 dihadiri kira-kira 20,000 peminat.

Lebar sayap

KRU dibubarkan pada 2018 tetapi Norman masih merindui waktu lalu mereka membuat persembahan.

“Kami mempunyai pengalaman yang indah ketika mengadakan konsert jelajah,” kata Norman mengenang jelajah mereka di Asia Tenggara.

“Kami ke Filipina, Thailand, Indonesia, dan Brunei. Kami seronok melakukan itu semua. Tetapi saya rasa sudah saatnya untuk kita meneruskan kehidupan.”

Jelas Norman, mereka kini memfokuskan kepada rancangan lain, termasuk syarikat rakaman mereka, KRU Music, yang pada asalnya ditubuhkan sebagai KRU Records pada 1996.

Memasuki 25 tahun penubuhan KRU Music, Norman dan adik-adiknya mempunyai visi dan cita-cita besar, termasuk mempromosikan karya Malaysia di peringkat global dalam tempoh 3-5 tahun yang akan datang.

“Tidak lama lagi, kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi dari Sweden dan juga Korea. Ideanya untuk membawa artis kami ke pasaran yang lebih besar.”

Ini sangat penting memandangkan industri muzik tanah air masih berdepan dengan isu pasaran yang kecil serta didominasi kelompok tertentu.

Biarpun Malaysia mempunyai populasi 32 juta penduduk, pasaran tempatan dikecilkan mengikut perbezaan bahasa, pandangan, dan juga minat antara golongan urban dan populasi besar secara keseluruhan.

Norman berkata ini menyukarkan usaha untuk menarik minat pelaburan yang besar bagi menghasilkan kandungan kreatif yang berkualiti tinggi.

Bagaimanapun, memasuki pasaran global pula membawa kepada cabaran baharu, terutama kekangan kewangan. Artis dan juga syarikat rakaman hendaklah menanggung kos yang semakin meningkat untuk menghasilkan muzik video yang bagus.

“Hasilkan lagu sahaja tidak mencukupi,” kata Norman, memandangkan pada era digital ini, muzik video dilihat sebagai bahagian yang signifikan bagi menjana keuntungan kepada syarikat.

Selain itu, KRU Music juga merancang untuk kembali ke muzik hip hop dan pop selepas hampir 10 tahun mengambil artis rakaman dari pelbagai genre.

Jelas Norman, mereka juga akan menubuhkan anak syarikat yang akan menguruskan lagu-lagu dengan genre yang berbeza termasuk lagu kanak-kanak, nasyid, dan rock.

KRU Music juga merancang untuk bekerjasama dengan artis serta penggubah generasi kini dan berharap untuk membawa industri kreatif maju pada masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.