Bomba usaha keluarkan mayat masih terperangkap dalam insiden kren runtuh

Bomba usaha keluarkan mayat masih terperangkap dalam insiden kren runtuh

Kerja-kerja penstabilan sedang dilakukan sebelum mayat mangsa boleh dikeluarkan.

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Bomba dan Penyelamat masih berusaha melakukan kerja-kerja penstabilan sebelum mengeluarkan mayat mangsa nahas kren runtuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), semalam.

Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur Khairul Azuwan Ibrahim berkata, proses mengeluarkan mayat yang dipercayai mangsa ketiga insiden itu melibatkan penstabilan “U beam” menggunakan “I-Beam Support” sebelum melakukan angkatan pada “crane launcher” yang menghempap mangsa.

“Kerja-kerja penstabilan “U beam” dengan menggunakan “I-Beam Support” sedang dilakukan sebelum melakukan angkatan pada “crane launcher” yang menghempap mangsa menggunakan “mobile crane” dan seterusnya proses mengeluarkan mangsa akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

JBPM Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.45 pagi semalam dan mengarahkan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Tun Razak serta Hang Tuah ke lokasi kejadian.

JBPM berkata seorang pemandu kenderaan cedera parah kerana dihempap kren yang runtuh itu.

Tiga lagi mangsa iaitu pekerja projek pembinaan tersebut, termasuk dua individu yang jatuh dari ketinggian 120 kaki disahkan meninggal dunia.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur Nordin Pauzi sebelum ini berkata, tiga pekerja projek pembinaan tersebut yang berasal dari China dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.