
Gopal Sri Ram berkata, kematian dan kecederaan dalam tahanan adalah perkara serius dan beliau berharap keputusan itu memberi mesej yang keras kepada pihak berkuasa.
“Penghakiman ini tidak mengganggu siasatan yang sah. Kita tidak boleh lupa bahawa fungsi agensi penguatkuasaan, terutama polis, adalah mencegah dan menyelesaikan jenayah,” kata beliau.
Sri Ram berkata, pihak berkuasa perlu diberikan kebebasan dalam menjalankan soal siasat tetapi kematian dalam tahanan tidak sepatutnya berlaku.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu mengulas keputusan majoriti 6-1 mahkamah yang memberikan ganti rugi teruk berjumlah RM200,000 kepada balu bekas pemandu lori P Chandran dan anak perempuan mereka.
Jumlah itu sebelumnya telah diberikan sebagai ganti rugi teladan tetapi kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Ganti rugi berasingan sebanyak RM127,000 dalam tuntutan lain tidak terganggu dan kerajaan harus membayar sejumlah RM327,0000 termasuk faedah 5%.
Ganti rugi teladan adalah ganti rugi yang dinilai bagi menghukum defendan atas kelakuan yang keterlaluan dan bagi mencegah defendan daripada mengulangi kesalahan itu.
Ganti rugi teruk pula merujuk kepada pampasan khas dan luar biasa yang diberikan kepada plaintif apabila kelakuan defendan membawa kepada keadaan yang memalukan dan berniat jahat terhadap plaintif.
Hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang, yang menyampaikan keputusan majoriti itu berkata, mahkamah tidak memberikan ganti rugi teladan, yang akan menghasilkan keputusan yang bertentangan dengan niat perundangan, kerana itu akan menjadi perundangan kehakiman yang tidak sah dan pelanggaran doktrin pemisahan kuasa.
Menurut Sri Ram, “pampasan menurut perlembagaan adalah hak setiap warganegara apabila hak asasi mereka dicabul”.
Hakim Nallini Pathmanathan, yang tidak bersetuju dengan keputusan majoriti, berkata kematian dalam tahanan adalah “salah satu kesalahan yang paling dikecam dalam masyarakat bertamadun yang ditadbir oleh kedaulatan undang-undang”, dan Malaysia tidak terkecuali.
Kata beliau, ganti rugi berjumlah RM200,000 yang diberikan Mahkamah Tinggi jelas bersifat menghukum bagi menunjukkan kemarahan mahkamah atas tindakan pihak berkuasa yang mengakibatkan kematian individu yang ditahan.
Pada Januari 2017, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, S Nantha Balan telah mempertanggungjawabkan polis atas kematian Chandran dalam lokap polis Dang Wangi setelah keperluan kesihatannya tidak dipenuhi.
Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa polis bertanggungjawab atas kematian dan ganti rugi seperti yang diminta.
Kerajaan mengemukakan rayuan agar RM200,000 tidak diberikan kerana Akta Undang-undang Sivil tidak membenarkan ganti rugi teladan diberikan kepada keluarga si mati.