
Faiz memberi kenyataan mengenai dakwaan itu kepada polis pada 18 Mac, dan akan terus memberikan kerjasama penuh dalam siasatan itu.
“Saya menafikan tuduhan tersebut. Butiran pembelaan saya tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan. Saya juga sedang berbincang dengan pasukan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya ketika dihubungi.
Faiz, anak kepada bekas presiden PAS, Fadzil Noor, dan juga seorang peguam, merupakan wakil rakyat penggal pertama selepas memenangi kerusi Permatang Pasir pada PRU-14.
Terdahulu, satu laporan polis dibuat seorang pembantu kedai mendakwa diraba dan dipeluk seorang ADUN Pulau Pinang semasa mereka dalam perjalanan ke restoran di Lembah Klang.
Ketua Polis Subang Jaya, Khalid Othman, mengesahkan laporan itu dan berkata kes dikelaskan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.