Padah gagal daftar masuk premis, dua beradik di Kuantan dikompaun RM10,000

Padah gagal daftar masuk premis, dua beradik di Kuantan dikompaun RM10,000

Dua beradik itu adalah antara tujuh individu berusia 18 hingga 61 tahun yang dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard PKPP.

Ketua Polis Daerah Kuantan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua yang dikompaun, termasuk pemilik premis gerai makanan di Teluk Cempedak dikenakan tindakan mengikut Peraturan 18 (3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
PETALING JAYA:
Gara-gara gagal mendaftar masuk ke sebuah premis makanan di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang, dua beradik dikenakan kompaun RM10,000 kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan Mohamad Noor Yusof Ali, dua beradik itu adalah antara tujuh individu berusia 18 hingga 61 tahun yang dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Tindakan tegas itu dibuat bertujuan menyedarkan masyarakat supaya sentiasa berusaha mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan,” katanya, lapor Harian Metro.

Kesemua yang dikompaun, termasuk pemilik premis gerai makanan di Teluk Cempedak dikenakan tindakan mengikut Peraturan 18 (3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Kesalahan yang dilakukan adalah kerana tidak mendaftar nama pada buku daftar masuk premis dan membenarkan pelanggan masuk ke premis tanpa mendaftar masuk, menurut laporan itu lagi.

Setakat ini Mohamad Noor berkata, pihaknya mengeluarkan 25 notis kompaun kepada individu yang didapati melanggar SOP dalam tempoh 10 hari pelaksanaan kompaun baharu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.