
Siasatan jabatan itu menyusul selepas pihak berkuasa Singapura mengambil langkah menangguhkan dan menarik balik telur dari beberapa ladang di Malaysia kerana dikhuatiri dicemari bakteria.
JPV dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil sampel calitan kloaka dan najis.
Katanya, sampel telur, makanan dan air minuman dari ladang ayam penelur tersebut turut diambil.
Minggu lalu, pihak berkuasa Singapura menghentikan jualan telur yang dikenali dengan cop “CES 008” dari Lay Hong Bhd Layer Farm Jeram.
Sebelum ini, JPV berkata telur tersebut menjalani rawatan haba di kilang memproses di Kapar dan Meru. Jabatan itu juga berkata telur berkenaan tidak pernah dijual dalam negara.
JPV berkata, mereka akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu dengan Agensi Makanan Singapura (SFA).
Katanya, siasatan sama sedang dibuat di ladang Linggi Agriculture Sdn Bhd yang menghasilkan telur dengan cop “CEM014”, selepas Singapura meminta empat pengimport supaya menarik balik produk itu kerana masalah serupa.
JPV berkata, jabatan itu akan mempertingkatkan program pemantauan Salmonella di semua 276 ladang ayam penelur di seluruh negara bagi memastikan bekalan dan keselamatan telur yang dipasarkan.
Bakteria salmonella enteritidis (SE) boleh menyebabkan cirit-birit, sakit perut, demam, mual dan muntah. Bakteria boleh dimusnahkan sekiranya telur dimasak dengan sempurna.
Bakteria itu juga boleh terdapat dalam telur dan juga pada kulit telur.