Umno Ketereh terus sokong gabungan PN, GPS, GRS

Umno Ketereh terus sokong gabungan PN, GPS, GRS

Ketua Umno Bahagian Ketereh, Annuar Musa berkata beliau akan menghantar surat kepada presiden parti mengenai empat usul ditandatangani oleh 30 ahli jawatankuasa parti bahagian itu.

KOTA BHARU: Umno Bahagian Ketereh akan menghantar surat kepada presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendirian yang mengandungi empat perkara yang telah ditandatangani oleh 30 ahli jawatankuasa parti bahagian berkenaan, Isnin ini.

Ketuanya, Annuar Musa berkata antara empat perkara tersebut adalah ketetapan untuk terus menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata perkara kedua pihaknya mengesyorkan supaya Barisan Nasional (BN) dan PN segera memulakan rundingan pembahagian kerusi serta berusaha membentuk gabungan yang kuat untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH) secara satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Antara ketetapan lain termasuk memutuskan untuk memohon perdana menteri segera melantik seorang timbalan perdana menteri dari kalangan pemimpin BN serta-merta dan menggesa kerajaan terus fokus serta memberi keutamaan kepada agenda kestabilan politik memerangi Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.

“Empat pendirian ini akan dihantar kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi melalui serahan surat secara terus pada Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran ATM cawangan Ketereh kali ke-28.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan kekeliruan di peringkat akar umbi khususnya Umno Ketereh.

Annuar juga berkata beliau tidak bimbang sekiranya kelantangannya menegur parti secara terbuka di laman media sosial Facebook miliknya akan menyebabkan beliau diambil tindakan termasuk dipecat daripada parti berkenaan.

Katanya beliau bertindak sedemikian agar parti berkenaan dapat dihormati, diterima dan disukai oleh rakyat.

“Saya bersuara sebab saya mahu Umno selamat, saya tidak mahu Umno itu menjadi alat kepentingan kumpulan atau pun puak atau individu sebab akhirnya kita semua yang akan menerima akibat kalau terjadi apa-apa dengan parti.

“Saya juga adalah ahli nombor 124 daripada 3.5 juta ahli selain salah seorang yang menaja menghidupkan semula Umno baharu selepas parti itu diharamkan. Macam-macam orang menyindir nak pecat saya kononnya saya tidak setia dan mahu lompat pergi parti PPBM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.