Kerajaan pertimbang pengecualian cukai hiburan pawagam, kata Saifuddin

Kerajaan pertimbang pengecualian cukai hiburan pawagam, kata Saifuddin

Kutipan cukai hiburan bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan, bagaimanapun kerajaan pusat terbuka untuk berbincang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah mengadakan lawatan dan pemantauan pematuhan SOP pawagam di Golden Screen Cinemas (GSC) Midvalley Megamall, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan pengecualian cukai hiburan bagi syarikat pawagam yang terjejas akibat Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, terdapat aduan dan cadangan mengenai perkara itu daripada pihak industri, namun belum ada sebarang memorandum secara rasmi dihantar kepada kementeriannya.

Katanya, kutipan cukai hiburan bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri masing-masing, bagaimanapun kerajaan pusat terbuka untuk berbincang.

“Saya telah dengar aduan (kecuali cukai hiburan kepada syarikat pawagam) ini sudah lama lagi, namun sejak musim Covid-19 perkara ini semakin hangat dibincangkan. Belum ada memorandum rasmi tapi perkara ini dalam pengetahuan saya dan kita sedang meneliti perkara ini.

“Saya amat mengalu-alukan jika ada permohonan rasmi dibuat dan kita sedia untuk berbincang sebab ini musim Covid-19 semua orang menderita, apa yang kita boleh bantu, kita bantu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan pemantauan pematuhan SOP pawagam di Golden Screen Cinemas (GSC) Midvalley Megamall.

Saifuddin berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP pembukaan pawagam selepas ia dibenar beroperasi bermula awal Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.