Kenapa tiada tindakan pada jangkitan babit zon kilang utama? soal Ahli Parlimen

Kenapa tiada tindakan pada jangkitan babit zon kilang utama? soal Ahli Parlimen

Sim Tze Tzin membuat hantaran gambar menunjukkan data kadar Covid-19 yang tinggi di Mukim 12 dan 13 di bahagian Pulau di Pulau Pinang.

Mukim 12 dan Mukim 13 di bahagian Pulau, di Pulau Pinang adalah kawasan dipenuhi dengan banyak kilang elektronik.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen mempersoalkan kepimpinan Majlis Keselamatan Nasional (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) kerana dilihat gagal dalam mengekang kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi di zon utama di Pulau Pinang yang dipenuhi dengan kilang elektronik.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata data yang dikumpulkannya sejak Januari hingga Mac menunjukkan virus itu merebak di Mukim 12 dan Mukim 13, di barat daya negeri itu.

“Selepas tiga bulan, selepas PKP, PKPB dan segala SOP yang bermacam-macam, kes makin menjadi-jadi.

Kadar jangkitan Covid-19 di Mukim 12 pada Mac. (Gambar Sim Tze Tzin)

“Rakyat Bayan Baru banyak memberi maklum kepada saya, bahawa mereka amat sangsi dan kecewa. Mereka telah mengikuti segala macam SOP, tapi kes masih banyak. Perniagaan dan pekerjaan mereka terjejas dan sentiasa hidup dalam ketakutan,” katanya dalam catatan di Facebook.

Sim berkata kilang-kilang di dua mukim terbabit merupakan “important part of Global Supply Chain” dan kegagalan bertindak akan memberi kesan kepada ekonomi. (Industri elektrik dan elektronik di Pulau Pinang dilaporkan menyumbang sekitar RM380 bilion kepada nilai eksport keseluruhan Malaysia.)

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Katanya, MKN tidak mampu menyelesaikan masalah mengikut data dalam melaksanakan strategi khusus. Beliau berkata, pada Jumaat, Pulau Pinang mempunyai kadar kebolehjangkitan keenam tertinggi di negara ini, dengan nilai R0 (R-naught) pada 0.98.

Beliau turut mempersoalkan strategi dibuat untuk menurunkan kadar kebolehjangkitan itu.

Beliau mengkritik Miti atas kelewatan mereka dalam melancarkan program Safe@Work walaupun sudah diketahui sejak tahun lalu, kilang-kilang adalah punca perebakan Covid-19.

Sim juga mempersoalkan kurangnya penguatkuasaan terhadap kilang yang gagal mengikuti peraturan Covid-19 atau yang mempunyai kes berulang.

Kadar jangkitan Covid-19 di Mukim 13 pada Mac. (Gambar Sim Tze Tzin)

“Mereka gagal mengurus kilang mereka dengan baik sehinggakan membahayakan orang awam. Mereka harus dipertanggungjawabkan. Tindakan keras harus dikenakan ke atas kilang yang gagal,” katanya.

Beliau berkata belum ada kilang pembuatan yang diarahkan tutup susulan pelanggaran itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.