Imigresen jamin selesai isu perbaharui pasport di Singapura

Imigresen jamin selesai isu perbaharui pasport di Singapura

Kesesakan di STM di Singapura bagi pembaharuan pasport berpunca daripada gangguan sistem dan pemohon 'walk-in', kata Jabatan Imigresen.

Kesesakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura bagi pembaharuan pasport berpunca daripada gangguan sistem dan pemohon ‘walk-in’, kata Jabatan Imigresen. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Imigresen memberi jaminan akan menyelesaikan isu kesesakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di Singapura susulan kesukaran memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) di negara itu.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menempatkan lapan pegawai di STM bermula minggu depan bagi membantu melancarkan proses dokumentasi pasport di republik itu.

“Sekarang kita ada lima petugas di sana dan akan datang lapan pegawai Kastam turut membantu…tindakan sedang diambil,” kata beliau ringkas kepada pemberita selepas menyertai Ops Penguatkuasaan Imigresen di Jalan Imbi awal pagi ini.

Turut sama dalam operasi tersebut Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said.

Beliau turut mengakui isu tersebut berlarutan sejak Oktober lalu dan tindakan sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu.

Khairul Dzaimee berkata, kesesakan di STM sejak dua hari lalu berpunca daripada gangguan sistem serta kerosakan pada satu daripada dua mesin pencetak pasport, selain pemohon yang datang secara terus (walk-in) tanpa membuat janji temu

“Kita sudah nasihatkan mereka (rakyat Malaysia di Singapura) untuk membuat permohonan secara dalam talian tetapi mereka tetap datang (walk-in). Kita beri keutamaan kepada yang perlu perbaharui pasport untuk permit kerja kerana mereka tidak boleh keluar (rentas negara).

“Bagi mereka yang ada masa itu, kita minta mereka mohon secara dalam talian dan permohonan akan diproses di pejabat Imigresen di Johor …dalam masa empat atau lima minggu, pasport akan dikeluarkan,” kata beliau.

Semalam, Khairul Dzaimee dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Luar Singapura bagi membenarkan kakitangan syarikat Datasonic Berhad memasuki negara itu untuk melakukan kerja-kerja pembaikan bagi melancarkan proses memperbaharui pasport rakyat Malaysia di Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.