Laporan: Ramai mengeluh terpaksa beratur panjang di Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk perbaharui pasport

Laporan: Ramai mengeluh terpaksa beratur panjang di Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk perbaharui pasport

Orang ramai dilihat beratur untuk memperbaharui pasport mereka sejak awal pagi, dengan warga tua dan pengguna kerusi roda harus menunggu berjam-jam di bawah terik matahari.

Menurut seorang penduduk tetap, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura tidak membenarkan permohonan dalam talian untuk kanak-kanak dan warga emas.
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia yang bermastautin di Singapura menyuarakan rasa tidak puas hati mereka apabila perlu beratur panjang untuk permohonan pasport di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara itu.

Ia merupakan isu yang berterusan sejak pandemik Covid-19 bermula.

The Straits Times (ST) melaporkan beratus-ratus orang beratur untuk memperbaharui pasport mereka sejak awal pagi, sehingga terdapat warga emas dan pengguna kerusi roda harus menunggu berjam-jam di bawah terik matahari.

Mereka berkata, cuti sekolah dari 13 hingga 21 Mac nampaknya memburukkan lagi keadaan, dengan ada yang mendakwa hanya sebilangan kecil permohonan yang dapat diproses setiap hari kerana “masalah teknikal”.

Seorang penduduk tetap, yang dikenali sebagai Puan Lim, memberitahu ST bahawa percubaan pertamanya pada 16 Mac membuatnya beratur seawal pukul 6.45 pagi, tetapi hanya sampai di pintu pagar lima jam kemudian.

Namun, permohonan wanita berusia 50 tahun itu tidak dilayan kerana konsulat mencapai had harian 30 permohonan.

Beliau akhirnya berjaya memproses permohonannya ketika kembali keesokan harinya pada pukul 5.30 pagi dan beratur selama beberapa jam lagi.

Menurut Tommy Yap, 47, yang juga penduduk tetap, beratur panjang untuk permohonan pasport menjadi masalah berterusan sejak tahun lalu.

Isterinya pergi untuk memperbaharui pasport anak lelaki mereka pada Januari jam 7 pagi, satu jam sebelum waktu buka, tetapi melihat hampir 200 orang sudah mula berbaris menunggu giliran.

Mereka memutuskan untuk mencuba lagi semasa cuti sekolah pada Mac.

“Banyak orang berkata kepada kami, ada orang akan mula beratur pada tengah malam,” kata Yap dipetik oleh Singapore Daily.

Tambahnya lagi, mereka tidak dapat membuat permohonan dalam talian kerana permohonan kanak-kanak dan warga emas hanya boleh dilakukan sendiri.

Yap bagaimanapun mengakui, penantian yang lama itu mungkin disebabkan oleh kekurangan kakitangan atau permohonan yang terlalu banyak, dengan rakyat Malaysia tidak dapat memperbaharui pasport mereka di Johor seperti yang mereka lakukan selama ini.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia menghentikan semua permohonan langsung untuk pembaharuan pasport pada 30 Mac tahun lalu kerana pandemik Covid-19.

Ia hanya memberi keizinan semula pada Disember, tetapi sementara itu, permohonan dalam talian masih diproses dengan tarikh siap ditetapkan untuk mengambil pasport baharu.

Dalami muat naik di laman Facebooknya, ia hanya akan memproses kes mendesak yang melibatkan pasport atau pas jangka panjang yang akan berakhir dalam tiga bulan atau kurang, susulan langkah penjarakan sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.