
Menterinya Mohamed Azmin Ali berkata, menerusi program itu, kakitangan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 boleh terus bekerja bawah protokol dipanggil “safe work bubble”.
Ia membabitkan kakitangan sektor perkilangan dan perkhidmatan selain pekerja yang tinggal di kuarters kakitangan, yang diasingkan daripada komuniti sehingga disahkan negatif daripada virus itu.
“Safe@Work adalah SOP yang boleh dilaksanakan oleh syarikat di sektor perkilangan yang merangkumi tanggungjawab majikan menyediakan penginapan pekerja yang selamat serta mematuhi piawaian bawah Akta Standard Minimum Penginapan dan Perumahan Pekerja 1990 (Akta 446),” katanya.
Azmin turut memaklumkan, bawah “Safe Work Bubble” pihak syarikat juga perlu menubuhkan Pasukan Persediaan dan Tindakbalas Kecemasan Covid-19 (PERT), melakukan proses sanitasi berterusan di premis perkilangan serta saringan bersasar kepada pekerja kilang.
Kerajaan juga akan menyediakan insentif potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 bagi setiap syarikat untuk perbelanjaan berkaitan penginapan pekerja dan peralatan penting untuk memantau pekerja.
“Syarikat boleh mula membuat pendaftaran di Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) mulai 1 April 2021,” katanya.
“MITI berharap dengan pelaksanaan Safe@Work, syarikat di sektor perkilangan dan perkhidmatan akan meningkatkan pematuhan terhadap SOP bagi memastikan mereka dapat beroperasi seperti biasa,” kata Azmin.