Kerajaan siasat kematian jururawat, seminggu selepas divaksin

Kerajaan siasat kematian jururawat, seminggu selepas divaksin

Wanita berusia 45 tahun itu mengadu lenguh dan sakit badan sebelum ditemui meninggal dunia oleh suaminya di rumah mereka di Sungai Petani.

Khairy Jamaluddin, menteri yang mengetuai kempen imunisasi kebangsaan, menerima suntikan vaksin Covid-19 di Negeri Sembilan hari ini. Katanya, kematian jururawat itu akan disiasat sebelum beliau boleh membuat sebarang kenyataan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Seorang jururawat di Hospital Pulau Pinang meninggal dunia di rumahnya di Sungai Petani semalam, selepas jatuh sakit sejak disuntik vaksin Covid-19.

Wanita berusia 45 tahun itu, yang berkhidmat di unit rawatan rapi neonatal, ditemui mati oleh suaminya di rumah mereka di Bandar Sri Astana.

Menurut kenyataan suaminya kepada polis, wanita itu mengadu lenguh selepas menerima dos pertama pada 12 Mac lalu.

Jururawat yang berkhidmat di hospital kerajaan itu lebih 20 tahun, menghidap tekanan darah tinggi sebelum divaksin.

Empat hari selepas divaksin, beliau pada 16 Mac lalu mengadu mengalami kesukaran bernafas dan sakit di seluruh badannya.

Wanita itu masuk tidur pada 11.30 malam hari sama, sebelum ditemui meninggal dunia oleh suaminya pada 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzly Abu Shah berkata, lelaki itu segera menghubungi ambulans dan anggota paramedik mengumumkan kematiannya setiba mereka di rumahnya.

Mayat jururawat itu kemudian dibawa ke Hospital Alor Setar untuk bedah siasat.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang mengetuai kempen imunisasi berkata, perkara itu sedang disiasat.

“Saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan konklusif ketika ini. Tolong benarkan kami menyiasat perkara ini untuk menentukan sama ada vaksin memainkan peranan dalam kematian itu,” katanya dalam sidang media di Rembau, Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.