Tanah di lokasi utama bakal dijual? Kumpulan minta penjelasan kerajaan P Pinang

Tanah di lokasi utama bakal dijual? Kumpulan minta penjelasan kerajaan P Pinang

CHANT minta MBPP menjelaskan khabar angin bahawa ia sedang melakukan rundingan mengenai penjualan tanah di Pulau Tikus.

Penasihat undang-undang CHANT, Yan Lee, berkata kerajaan Pulau Pinang sudah banyak menjual tanah.
GEORGE TOWN:
Citizens Awareness Chant Group (CHANT) mempersoalkan sama ada sebidang tanah di lokasi utama seluas 2 hektar milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan dijual kepada pemaju swasta seperti yang dicanang.

Penasihat undang-undangnya, Yan Lee berkata, tanah di Lengkok Burma, Pulau Tikus, menampung rumah kampung sebelum zaman perang, kuil dan gerai penjaja, dengan harga tanah mencapai sekurang-kurangnya RM2,000 per kaki persegi.

“Kami telah diberitahu oleh sumber yang boleh dipercayai bahawa rundingan mengenai penjualan tanah itu kepada pemaju sedang berjalan. Persoalannya adalah sama ada kita perlu menjual lebih banyak lagi tanah milik majlis dan negeri, sedangkan sudah banyak telah kita jual,” kata beliau.

Yan berkata, berdasarkan jawapan Dewan Undangan Negeri tahun lalu, cabang pembangunan kerajaan negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, sudah menjual sekitar 355 hektar tanah kepada entiti swasta sejak 2013.

Beliau berkata, aset tanah perlu disimpan untuk projek negeri, bukannya dijual habis-habisan.

“Menjadi kebimbangan apabila tanah terus dijual dengan kadar begini. Kenapa perlu jual lagi tanah apabila kita masih ada banyak simpanan tunai?” soal beliau.

ADUN Pulau Tikus Chris Lee Chun Kit berkata, tanah tersebut dikenali sebagai Kampung Sireh, dan beliau belum pernah mendengar apa-apa rancangan untuk menjualnya.

Beliau berkata, tanah tersebut mungkin tidak akan dijual kerana ada perancangan untuk menaik taraf pusat penjaja di sana.

Pada 2017, kerajaan negeri menjual sebidang tanah seluas 2.5 hektar kepada sebuah hospital swasta dengan harga RM156 juta dengan pajakan selama 99 tahun, sebagai sebahagian daripada projek bandar perubatan bernilai RM2 bilion.

FMT menghubungi MBPP untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.