Kes bunuh di London bukti tempat awam masih tidak selamat bagi wanita

Kes bunuh di London bukti tempat awam masih tidak selamat bagi wanita

Aktivis berkata, lebih banyak usaha perlu dilakukan di Malaysia sendiri untuk melindungi wanita daripada gangguan di tempat awam.

Kes pembunuhan Sarah Everard yang berprofil tinggi di London menyaksikan golongan wanita sedunia mencetuskan gelombang di media sosial. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kes pembunuhan Sarah Everard yang berprofil tinggi di London menyaksikan golongan wanita sedunia mencetuskan gelombang di media sosial bagi membincangkan isu sikap prejudis terhadap wanita secara global dan keselamatan wanita di tempat awam.

Wanita di Malaysia tidak terkecuali daripada mengalami perasaan takut terhadap keganasan berasaskan gender di tempat awam.

Aktivis K Balasupramaniam menyatakan bahawa kes gangguan di jalanan sebenarnya lebih lazim di negara ini berbanding di United Kingdom.

Antara lain, beliau menyebut pembunuhan Audrey Melissa, yang diculik, diperkosa dan dicekik dalam perjalanan ke sekolah pada 1999, dan Chee Gaik Yap, yang dihendap dan akhirnya diperkosa pada 2006 ketika berjoging di kawasan kejiranannya.

K Balasupramaniam.

Walaupun bukan semua kes di negara ini berakhir dengan kematian, Balasupramaniam berkata, masih banyak kes tidak dilaporkan sehingga ke hari ini.

“Sekarang, dengan semua orang fokus kepada Covid-19 dan mengelak daripada berada di jalanan, kita tidak akan sedar sekiranya sesiapa diculik dan dibunuh,” kata beliau kepada FMT.

Beliau menasihatkan agar orang ramai sentiasa memaklumkan rakan atau ahli keluarga tentang keberadaan mereka pada larut malam, supaya kehilangan mereka akan dapat dikesan.

Namun, Balasupramaniam menekankan bahawa “bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi”, justeru golongan lelaki perlu dididik daripada usia muda untuk lebih menghormati wanita.

“Kita masih melihat pola pemikiran tentang bagaimana seorang wanita harus bersedia, jika tidak, lelaki akan” menyerang”. Ini bukan yang seharusnya kita ajar. Lelaki mesti memainkan peranan yang lebih besar untuk melindungi wanita,” kata beliau.

“Jika tidak, kes seperti Sarah akan muncul semula. Masa dan tempatnya mungkin berbeza, tetapi peluang dan jenayahnya akan tetap sama.”

Everard diculik dan dibunuh oleh seorang pegawai polis dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya pada 3 Mac.

Susulan kejadian itu, lebih seribu orang berjaga sepanjang malam beramai-ramai Sabtu lalu berhampiran lokasi terakhir wanita berusia 33 tahun itu dilihat, di mana polis dilaporkan menggari dan menahan beberapa orang wanita.

Hannah Reshma Jambunathan.

Pegawai pembangunan kapasiti Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) Hannah Reshma Jambunathan berkata, gangguan di tempat awam adalah sebuah “pengalaman sejagat”, yang menjelaskan mengapa wanita di seluruh dunia merasa terkesan dengan kes Everard, termasuk rakyat Malaysia.

Menurut tinjauan WAO dan Vase.ai yang melibatkan 1,008 rakyat Malaysia Disember lalu, lebih daripada satu pertiga daripada jumlah responden pernah dihendap dan merasa tidak selamat sendirian di tempat awam.

Daripada jumlah tersebut, 69% tidak membuat laporan polis, dengan hampir separuh berkata, mereka tidak percaya polis dapat membantu.

“Perlu ada anjakan dalam sikap masyarakat dan budaya bagi memahami ketidaksamaan gender di Malaysia, supaya dapat dihadam bahawa tanggungjawab ke atas keselamatan wanita di khalayak ramai bukanlah semata-mata terletak di bahu wanita,” kata Hannah.

Tambah beliau, pelulusan undang-undang berkaitan jenayah hendap dan akta gangguan seksual, serta mekanisme ganti rugi yang tepat, sangat penting bagi memastikan keselamatan wanita di Malaysia.

Presiden Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO) Winnie Yee berkata, banyak kes tidak dilaporkan kerana wanita menganggap sikap berjaga-jaga dengan persekitaran mereka adalah “normal”.

Kata Yee, sistem keadilan negara – yang mirip sistem di UK – gagal memberikan keadilan buat wanita.

Ini kerana pendekatan “tidak bersalah hingga terbukti bersalah” masih diguna pakai dalam kes-kes gangguan di tempat awam, yang sering terjadi tanpa saksi.

Beliau berkata jumlah kes yang berjaya dibawa ke mahkamah adalah penanda jelas tentang jurang antara jumlah insiden berlaku dan jumlah insiden dilaporkan.

“Masyarakat dan penggubal undang-undang kita harus mengakui bahawa keganasan terhadap wanita adalah suatu kesinambungan, bermula daripada mengurat, kepada menyentuh, menghendap, menyerang dan kemudian membunuh,” kata Yee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.