Diskaun 50% jika bayar kompaun langgar SOP PKP dalam 7 hari

Diskaun 50% jika bayar kompaun langgar SOP PKP dalam 7 hari

Diskaun akan diberikan secara automatik, kata Menteri Takiyuddin Hassan.

PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan, mengumumkan individu yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan boleh mendapatkan potongan 50%, jika membayarnya dalam masa tujuh hari.

“Seseorang individu atau syarikat yang disaman dan dikenakan amaun tertentu, jika mereka membayar dalam tempoh satu ke tujuh hari, secara automatik dapat diskaun 50%,” katanya pada sidang media.

Mereka yang membayar kompaun dalam masa 14 hari juga akan diberi diskaun 25%, tambahnya.

Sementara itu, Takiyuddin mengumumkan pengenalan kadar berbeza mengikut tiga kategori kesalahan iaitu tinggi, sederhana, dan biasa.

Katanya lagi, orang kurang upaya dan miskin boleh merayu jika tidak mampu membayar kompaun itu. Kerajaan juga sedia pertimbangkan rayuan pelajar, B40, dan penghidap penyakit kronik.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata individu melakukan kesalahan kategori biasa seperti tidak memakai pelitup muka dengan betul hanya akan dikenakan kompaun RM1,500.

Kesalahan lain yang termasuk bawah kategori biasa adalah gagal menjaga penjarakan fizikal dan tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau merekod butiran diri ketika memasuki premis.

Contoh kesalahan kategori tinggi seperti mengunjungi kelab malam boleh dikenakan denda maksimum RM10,000.

Takiyuddin berkata ketetapan baharu diputuskan kerajaan susulan mesyuarat Kabinet, hari ini.

Sementara itu, kerajaan memuktamadkan Garis Panduan Penetapan dan Pengurangan Nilai Kompaun, yang membahagikan jenis kesalahan bagi tiga kategori berkenaan, mengehadkan kadar kompaun mengikut jenis kesalahan, dan menetapkan diskaun berdasarkan tempoh bayaran dibuat.

Beliau juga mengumumkan pasukan penguatkuasaan pelaksanaan SOP terdiri daripada polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan pihak berkuasa tempatan mulai 1 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.