Top Glove mengaku tak salah 10 pertuduhan gagal sedia asrama pekerja ikut standard JTK

Top Glove mengaku tak salah 10 pertuduhan gagal sedia asrama pekerja ikut standard JTK

Mahkamah menetapkan 24 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Syarikat pengeluar sarung tangan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di 10 penginapan pekerja di Pusat Perdagangan Tasek Mutiara, antara 9.30 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 26 Nov lalu. (Gambar Bernama)
IPOH:
Top Glove Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 10 pertuduhan gagal menyediakan penginapan pekerja mengikut standard ditetapkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Pengakuan itu dibuat pengarah syarikat berkenaan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati gagal menyediakan kemudahan sepatutnya di 10 dorm penginapan pekerja yang tidak diperakukan dengan Perakuan Penginapan daripada ketua pengarah JTK seperti kehendak Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di 10 penginapan pekerja di Pusat Perdagangan Tasek Mutiara, antara 9.30 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 26 Nov lalu.

Jika sabit kesalahan syarikat itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000.

Pendakwaan dijalankan timbalan pendakwa raya Siti Syatimah Ibrahim dan Zaihas Mohd Syakir Hasfar, manakaka Top Glove diwakili peguam Chew Jee San.

Mahkamah menetapkan 24 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

FMT sebelum ini melaporkan sebuah kilang memproses sarung tangan akan didakwa atas 10 pertuduhan akibat gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja atau Akta 446 dalam pemeriksaan pada November lalu.

JTK menyerbu asrama Top Glove di Ipoh pada 26 Nov lalu dan mendapati asrama itu dalam keadaan kotor dan sesak.

Top Glove dalam kenyataannya selepas itu berkata, mereka akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan dalam usaha menambah baik tempat tinggal pekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.