Kastam rampas arak RM1.657 juta, tahan 4 ahli sindiket

Kastam rampas arak RM1.657 juta, tahan 4 ahli sindiket

Empat suspek masing-masing dua lelaki warga tempatan dan warga asing berumur lingkungan 24 hingga 47 tahun ditahan.

Ketua Pengarah Kastam Abdul Latif Abdul Kadir menunjukkan arak yang dirampas pada sidang media di Wisma Kastam, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dengan penahanan empat lelaki dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong, Selangor pada 9 Mac lalu.

Turut dirampas minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran 18,241.82l dianggarkan bernilai RM1.657 juta termasuk cukai dan duti.

Ketua Pengarah Kastam Abdul Latif Abdul Kadir berkata, operasi 7.30 malam itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai cawangan narkotik JKDM bersama cawangan penguatkuasaan JKDM Melaka.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan memanipulasikan pergerakan minuman keras transit dari Pelabuhan Klang ke gudang berkenaan menggunakan borang pengisytiharan palsu.

“Mereka menggunakan dokumen Borang Nombor 8 Kastam untuk transit tetapi ia hanya sebagai lakonan untuk mengaburkan aktiviti membawa minuman keras haram dari pelabuhan ke gudang berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam, Ayer Keroh.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya bekalan tersebut diimport dari negara luar untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Abdul Latif berkata, susulan serbuan itu, pihaknya menahan empat suspek masing-masing dua lelaki warga tempatan dan warga asing berumur lingkungan 24 hingga 47 tahun dipercayai mengendalikan barangan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976 kerana disyaki memiliki barang tidak dikastam selain terlibat dalam mengangkut, memindah atau menguruskan apa-apa barang duti dengan niat memfrod kerajaan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang awam membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara daripada kehilangan hasil malah mendatangkan ancaman keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.