Bekas pegawai bank Goldman bakal kembali berdepan perbicaraan berkaitan 1MDB

Bekas pegawai bank Goldman bakal kembali berdepan perbicaraan berkaitan 1MDB

Mahkamah dimaklumkan Roger Ng akan dihantar pulang oleh Jabatan Kehakiman AS selepas kes rasuahnya dilupuskan di New York.

Roger Ng berdepan empat tuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs dalam mengetepikan fakta material berkaitan penjualan bon 1MDB sebanyak USD6.5 bilion. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi dimaklumkan hari ini bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, dijangka kembali selepas Jun untuk berdepan tuduhan berkaitan penjualan bon 1MDB berjumlah USD6.5 bilion.

Timbalan pendakwa raya Norinna Bahadun berkata, pihak pendakwaan dimaklumkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bahawa pihaknya boleh menghantar Ng pulang selepas kes rasuahnya dilupuskan di New York.

“Kami meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan lain sementara menunggu perbicaraannya di New York,” kata beliau.

Bagaimanapun, peguam Ng, Tan Hock Chuan, berkata perbicaraan bekas pegawai bank AS itu belum pun bermula.

“Mahkamah di sana ditutup sejak Oktober lalu dan hanya dibuka baru-baru ini.

“Saya difahamkan bahawa kes Roger hanya akan didengar antara bulan Jun dan Julai,” kata beliau, sambil menambah, pihak pembelaan tidak akan membantah tarikh sebutan lain.

Hakim perbicaraan Muhammad Jamil Hussin menetapkan 15 Jun bagi sebutan kes, sementara menunggu perbicaraan Ng di New York.

Ng berdepan empat tuduhan bawah Seksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan kerana bersubahat dengan Goldman Sachs dan entitinya di Asia dalam mengetepikan fakta material ketika pengumpulan bon USD6.5 bilion bagi pembelian loji kuasa bebas oleh 1MDB, dan projek Tun Razak Exchange serta Bandar Malaysia.

Antara fakta penting yang didakwa diketepikan oleh Goldman Sachs adalah peranan ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, yang dikatakan sebagai pengendali dan perantara utama bagi 1MDB.

Pihak pendakwaan September lalu menggugurkan tuduhan jenayah yang dikemukakan terhadap Goldman Sachs dan entitinya di Asia berhubung 1MDB.

Ini susulan persetujuan Goldman Sachs dan kerajaan untuk menyelesaikan tuntutan yang berkaitan dengan pengeluaran bon tersebut. Bank akan membayar kepada kerajaan sebanyak USD3.9 bilion sebagai penyelesaian.

Bagaimanapun pihak pendakwaan berkata, mereka akan meneruskan tuduhan terhadap Ng.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.