Polis siasat dakwaan tular pasangan dikompaun RM10,000 ketika makan

Polis siasat dakwaan tular pasangan dikompaun RM10,000 ketika makan

Siasatan awal polis mendapati bukan pihaknya yang mengeluarkan kompaun itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, pasangan terbabit dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman semalam.
PETALING JAYA:
Pasangan yang sebelum ini tular di media sosial selepas meluahkan rasa tidak puas hati berhubung kompaun RM10,000 yang diterima mereka Sabtu lalu sudah dipanggil polis untuk membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, pasangan terbabit dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati bukan pihak polis yang mengeluarkan kompaun tersebut sebaliknya ia dikeluarkan oleh satu pasukan penguat kuasa daripada sebuah agensi kerajaan,” kata beliau, seperti dilaporkan Kosmo!

“Pasangan itu sebelum ini dikesan memuat naik kenyataan bahawa mereka dikenakan kompaun ketika sedang makan dan minum serta kecewa dengan tindakan penguat kuasa yang dianggap mengeluarkan kompaun secara salah dan tidak masuk akal.”

Huzir berkata, pihaknya akan meneliti kes berkenaan dan merujuk keterangan pasangan itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang berperanan sepenuhnya ke atas kompaun yang dikeluarkan.

Terdahulu, salah seorang daripada pasangan itu mendakwa mereka dikenakan kompaun oleh pegawai penguat kuasa tanpa mendengar sebarang penjelasan atau diberi peluang membela diri apabila didapati tidak memakai pelitup muka.

Katanya, mereka membuat pesanan makanan di sebuah restoran pada 11.14 pagi dalam keadaan masih memakai pelitup muka, namun membukanya apabila minuman yang dipesan tiba dua minit kemudian.

Pada 11.37 pagi, ketika makanan yang mereka pesan sudah terhidang, mereka didatangi 10 pegawai yang kemudian mengeluarkan kompaun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.