Kerajaan rayu pengembalian jawatan PTD buat kenyataan perlekeh Najib

Kerajaan rayu pengembalian jawatan PTD buat kenyataan perlekeh Najib

Dua soal perundangan difailkan peguam persekutuan dalam permohonan mendapat izin rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan akan memutuskan nasib penjawat awam yang dipecat sebelum jawatannya dikembalikan oleh Mahkamah Rayuan, November lalu.
PUTRAJAYA:
Kerajaan memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan jawatan seorang pegawai tadbir diplomatik (PTD) kerana membuat kenyataan memperlekehkan bekas perdana menteri Najib Razak pada 2017.

Afidavit disahkan Peguam Kanan Persekutuan Nazri Ismail dan dilihat oleh FMT menunjukkan kerajaan memfailkan dua soalan perundangan dalam memohon izin membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Soalan pertama adalah sama ada melarang seorang penjawat awam daripada membuat kenyataan yang mungkin memalukan kerajaan untuk memastikan keneutralan politik perkhidmatan awam, tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, sama ada Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sebagai perundangan subsidiari, mampu menyekat kebebasan pendapat yang termaktub dalam Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan.

Nazri berkata, soalan dibangkitkan adalah isu baharu dan melibatkan kepentingan awam, yang perlu didengar mahkamah tertinggi negara itu.

Pengurusan kes ditetapkan pada 23 Mac ini.

Nazrul Imran Mohd Nor seorang PTD yang berkhidmat sebagai setiausaha kedua di kedutaan Malaysia di Manila, dan diarahkan pulang ke negara ini selepas didapati membuat kenyataan yang memperlekehkan Najib di Facebooknya pada 11 Jan 2017.

Dia didakwa berkata: “Kesian. Hilang kwn (kawan), hilang deposit.

Kenyataan itu selepas Najib mengucapkan takziah kepada keluarga ketua menteri Sarawak ketika itu, Adenan Satem, atas kematiannya yang mengejut.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang tidak berpuas hati dengan surat tunjuk sebabnya memecat Nazrul pada 13 Feb 2017, kerana melanggar Peraturan 19(1)(b) dan 4(2)(d) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Nazrul memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap SPA dan kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang ditolak pada Mei 2018.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada November lalu bagaimanapun mengarahkan SPA mengembalikan jawatan Nazrul. Dalam penghakimannya mahkamah memutuskan peraturan itu menyekat hak perlembagaan Nazrul seterusnya pemecatannya tidak wajar, tidak rasional dan hukuman yang terlalu berat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.