
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa Chung Pau Sang dikatakan tinggal seorang diri di rumah berkenaan yang terletak berjauhan dari rumah penduduk lain di kampung itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 11.29 malam.
Katanya, sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian bersama sepasukan 10 anggota dan pegawai.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, keadaan rumah mangsa sudah terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman kebakaran segera dijalankan sebelum api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Qawie berkata, mangsa ditemui rentung sepenuhnya di dalam rumah berkenaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, setakat ini punca sebenar kejadian kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.