Konvensyen DAP Perak kecoh dengan dakwaan pengundi hantu

Konvensyen DAP Perak kecoh dengan dakwaan pengundi hantu

Perwakilan mendakwa pengundi hantu tidak mempunyai tag nama yang ditetapkan dan maklumat peribadi mereka ditulis menggunakan pen, bukannya dicetak seperti perwakilan lain.

Keadaan huru-hara di luar Konvensyen DAP Perak ke-19 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh.
IPOH:
Sedikit kekecohan berlaku ketika Konvensyen DAP Perak ke-19 hari ini susulan dakwaan wujud pengundi hantu yang akan memilih ahli ke jawatankuasa negeri dan isu tempoh pengundian tiba-tiba dilanjutkan.

Kekecohan itu berlaku sebaik saja Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selesai berucap merasmikan Konvensyen DAP Perak ke-19 yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan ahli DAP negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh.

Seorang perwakilan yang juga Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong berkata, kekecohan itu disebabkan proses pendaftaran pemilih yang sepatutnya tamat 10 pagi, tetapi tiba-tiba disambung sehingga 12 tengah hari.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan ruang harus diberikan kepada semua pemilih, sekali gus pemilihan boleh dijalankan secara adil, bukannya memberi kelebihan kepada mana-mana pihak.

“Sepatutnya buka pendaftaran pemilih kepada semua, bukan kepada ahli-ahli tertentu. Kita pun boleh panggil ahli kita,” katanya kepada pemberita di konvensyen itu.

Senada dengannya, ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu, yang turut berada di dalam dewan juga mendapati aduan berkenaan timbul ekoran pihak pengurusan pemilihan yang masih mendaftarkan pengundi atau perwakilan selepas 10 pagi dan berterusan sehingga 11.30 pagi.

Seorang lagi perwakilan enggan dikenali berkata, pengundi hantu dikesan kerana mereka tidak mempunyai tag nama yang ditetapkan dan maklumat peribadi mereka ditulis menggunakan pen, bukannya dicetak seperti perwakilan lain.

Menurut buku konvensyen yang diedarkan kepada media, antara urusan rasmi hari ini adalah pemilihan 15 ahli jawatankuasa negeri, pembentangan dan penerimaan akaun penyata kewangan, selain penerimaan usul atau pengisytiharan dikemukakan jawatankuasa negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.