Jualan telur dari ladang Kuala Selangor digantung untuk ujian somanella

Jualan telur dari ladang Kuala Selangor digantung untuk ujian somanella

Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang menjalankan ujian ke atas semua ladang milik Lay Hong Berhad susulan laporan pencemaran bakteria itu oleh Singapura.

Pihak berkuasa Singapura mengarahkan penarikan balik telur dari sebuah ladang di Kuala Selangor.
PETALING JAYA:
Penjualan telur dari sebuah ladang di Kuala Selangor digantung sementara menunggu siasatan ke atas laporan pencemaran bakteria somanella enteritidis (SE) oleh pihak berkuasa Singapura.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar berkata, hanya sebuah ladang ayam dengan kod nama “CES 008” yang mengeksport telur ke Singapura.

Katanya, telur itu hanya akan melalui rawatan haba di kilang pemprosesan syarikat terbabit di Kapar dan Meru.

Bakteria SE boleh menyebabkan sakit perut, cirit-birit, loya, muntah dan demam. Bakteria itu boleh dimusnahkan dengan memasak telur secara sempurna.

Semalam, Singapura dilapor mengarahkan empat pengimportnya menarik balik telur keluaran Lay Hong Berhad Layer Farm di Jeram daripada pasaran republik itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Agensi Makanan Singapura, arahan itu dibuat berikutan penemuan bakteria SE pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan, jika telur itu dimakan mentah atau separuh masak.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar berkata, ia menjalankan ujian SE ke atas semua ladang Lay Hong.

“Syarikat itu bersetuju melaksanakan tindakan pembetulan dan pemantauan lebih kerap serta meningkatkan kawalan biosekuriti,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, telur keluaran ladang terbabit tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sehingga keputusan siasatan diperolehi dan ia juga tidak membenarkan kemasukan semula telur yang ditarik balik di Singapura itu ke Malaysia.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas premis serta telur itu.

KKM berkata, pemantauan bakteria SE di dalam telur sentiasa dijalankan.

“Sehingga kini, 364 sampel telur telah dianalisis dan hanya dua sampel tersebut mengandungi SE,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Bagi mengelakkan keracunan makanan akibat bakteria itu, KKM menasihatkan orang ramai mencuci telur dengan sempurna sebelum digunakan.

“Elakkan menggunakan telur yang retak atau pecah kerana ia mungkin tercemar dengan bakteria SE dan memasak telur dengan sempurna sehingga bahagian kuning dan putih telur menjadi keras sebelum dimakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.