Tolak pemimpin gunakan agama untuk membezakan Melayu daripada masyarakat lain dalam isu kalimah Allah

Tolak pemimpin gunakan agama untuk membezakan Melayu daripada masyarakat lain dalam isu kalimah Allah

Katanya, istilah Allah telah wujud hampir 400 tahun di dalam kitab Injil Bahasa Melayu terutama di Sabah dan Sarawak.

Penasihat MAJU Tawfik Ismail menyifatkan penunggang agama mahu orang Melayu hanya mengikut apa sahaja diperkatakan mereka tanpa berfikir dengan waras dan kritikal.
PETALING JAYA:
Umat Islam dan masyarakat Melayu perlu menolak pemimpin yang mempergunakan agama bagi membezakan masyarakat Melayu dengan yang lain di negara ini.

Perkara itu disuarakan Gerak Independent menerusi penasihat Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (MAJU), Tawfik Ismail yang menyifatkan golongan penunggang agama mahu orang Melayu hanya mengikut apa sahaja diperkatakan mereka tanpa berfikir dengan waras dan kritikal.

Gerak Independent adalah inisiatif bersama diketuai oleh Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (MAJU) serta NGO lain yang menyokong calon bebas sebagai Ahli Parlimen dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Mereka ini menyifatkan diri sebagai penyelamat ummah dengan memaksa fahaman dan doktrin sempit ke atas umat Islam di negara ini.

“Kalau sikap dan pandangan golongan ini dibenarkan tersebar dengan lebih meluas, maka Islam bakal berkubur di Malaysia,” kata Tawfik dalam kenyataan.

Tawfik berkata, masalah itu timbul apabila orang Islam tidak bercampur, tidak berfikiran kritikal dan tidak diberi ruang kebebasan berfikir mengenai agama mereka sendiri.

“Dunia Islam pada keseluruhannya tidak mempunyai masalah mengenai penggunaan kalimah Allah di Timur Tengah atau di mana-mana pun oleh agama lain, tetapi mengapa ia menjadi masalah di negara kita?

“Dunia Islam keseluruhannya sedang berusaha kembali untuk bersama masyarakat majmuk dunia, tetapi mengapa di Malaysia suara-suara ekstremis makin lantang menghalang dan menjadikan perbezaan antara kaum dan agama satu keutamaan dalam hidup masyarakat?” soalnya.

Tawfik berkata, dalam isu kalimah Allah sebagaimana diputuskan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, perkongsian istilah adalah perkongsian ketamadunan dan pengukuhan perpaduan antara manusia pelbagai budaya, bangsa dan agama.

Katanya, istilah Allah telah wujud hampir 400 tahun di dalam kitab Injil Bahasa Melayu di negara ini, khususnya di Sabah dan Sarawak, dan menjadi hak orang Sabah dan Sarawak dalam amalan agama mereka terjamin dalam perjanjian tiga negara yang menjadi konsep Malaysia termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Ini keputusan selaras dengan falsafah keislaman sebagai agama sejagat yang adil dan saksama. Malaysia adalah untuk semua. Allah adalah untuk semua di mana saja kita berada, bagaimana saja kita berfikir mengenai-Nya.

“Bukan untuk kita manusia menjadi kuasa ke atas apa yang Allah telah wujudkan di antara kita terutamanya. Islam tidak mengajar umatnya menjadi taksub mahu pun zalim,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu memutuskan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang bukan Islam oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah tidak sah.

Dalam memutuskan arahan KDN itu tidak mengikut Perlembagaan, mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh seorang penganut Kristian dari Sarawak, Jill Ireland Lawrance Bill, untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan agamanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.