
Presidennya, Dr Subramaniam Muniandy berkata, negara sebenarnya patut menyasarkan untuk melengkapkan program vaksinasi itu secepat mungkin, sebaik-baiknya menjelang hujung tahun ini.
Bagaimanapun, dengan kadar pendaftaran semasa, katanya, tidak mungkin Malaysia akan mencapai sasaran untuk 80% populasi divaksin, walaupun pada suku pertama 2022.
“Kita menunggu lebih setahun untuk cara mengatasi pandemik dan penyelesaian akhirnya tiba.
“Namun, ramai rakyat Malaysia nampaknya masih teragak-agak untuk mendaftarkan diri atas pelbagai sebab, walaupun penyelesaian untuk pandemik itu sudah ada,” katanya dalam kenyataan.
Subramaniam memberi jaminan kepada rakyat terdapat bukti mencukupi menunjukkan vaksin berkenaan selamat, dan “manfaatnya jauh mengatasi risiko” kerana kesan sampingan serius akibat vaksin jarang dilihat.
Katanya, golongan berusia dan mereka yang mempunyai penyakit patut mendaftar sekarang kerana fasa kedua program itu, yang memfokuskan kumpulan berkenaan, akan bermula bulan depan.
Subramaniam juga menggesa semua pemimpin masyarakat, korporat dan pertubuhan profesional, selain pempengaruh sosial, menggalakkan orang ramai mendaftar program berkenaan.
Beliau berkata, dengan beberapa negara bercadang membuka sempadan kepada pengembara yang divaksin, mereka yang perlu mengembara patut membuat persediaan dengan mendaftar untuk suntikan itu.
“Lebih cepat masyarakat diinokulasi, lebih cepatlah negara dapat pulih daripada kesan pandemik kerana perniagaan boleh beroperasi dengan yakin tanpa gangguan. Sektor yang ditutup mungkin boleh dibuka semula jika pekerja mereka divaksin.”
Kira-kira 275,851 orang telah menerima vaksin itu sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan 24 Feb lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau turut mendedahkan 2,990,577 individu telah mendaftar untuk inokulasi menerusi aplikasi MySejahtera sehingga 7 Mac lalu.
Fasa pertama program itu membabitkan petugas sektor kesihatan, perubatan dan barisan hadapan bukan kesihatan, Ahli Parlimen serta ADUN yang dijangka berakhir April ini.
Fasa kedua mulai April hingga Ogos ini akan membabitkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19, iaitu warga emas, individu rentan, yang mempunyai masalah morbiditi dan orang kelainan upaya.
Fasa ketiga pula memfokuskan orang dewasa berusia 18 tahun dan ke atas, dengan suntikan akan diberikan mulai Mei tahun ini hingga Februari 2022.