
Ketua pengarah Habibah Abdul Rahim berkata, ibu bapa yakin untuk menghantar anak mereka ke sekolah selagi prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat.
Beliau mengakui, kementerian pada awalnya menghadapi kesulitan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu dan sekolah perlu ditutup untuk mengekang penularan virus Covid-19.
Namun, katanya garis panduan sudah ditambah baik menjelang pembukaan semula sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar, guru dan kakitangan.
“Kanak-kanak perlu disaring ketika memasuki sekolah, meja dan kerusi perlu disusun mengikut jarak yang betul antara satu sama lain di dalam kelas dan lebih banyak tempat membasuh tangan perlu disediakan,” katanya kepada organisasi masyarakat sivil dan gerakan G25 Malaysia ketika webinar yang diadakan bersama Yayasan Edunity.
Habibah berkata, pelitup muka adalah wajib di sekolah dan kementerian yakin dengan pematuhan yang betul, pelajaran dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Kami belum pernah mendengar lagi kluster berpunca dari sekolah,” kata Habibah, sambil menambah jangkitan itu mungkin berpunca daripada masyarakat itu sendiri.
Pada 10 Mac lalu, empat murid SK Subang Jaya didapati positif Covid-19 dan petisyen dilancarkan untuk menutup keseluruhan sesi petang, membabitkan murid tahun satu hingga tiga.
Petisyen itu didaftarkan di change.org oleh Raja Nurul Huda Raja Halimul Rashid, yang meminta pejabat pendidikan daerah Petaling Perdana untuk mengambil tindakan segera walaupun keempat-empat murid tersebut tidak dijangkiti di sekolah.
Walaupun terdapat kes aktif yang dilaporkan, sekolah itu hanya menutup tiga kelas dan menempatkan murid yang terlibat serta 17 guru di bawah kuarantin kendiri di rumah.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek yang turut menyertai forum berkata, permintaan untuk penyambungan internet meningkat semasa wabak, terutama di kawasan luar bandar.
Katanya, penggunaan data sebahagian besarnya masih berpusat di bandar sedangkan di luar bandar, mereka lebih bergantung kepada pesanan suara yang tidak memerlukan capaian internet yang baik.
Oleh kerana capaian internet yang lemah, Fadhlullah berkata penyedia perkhidmatan kini bergerak secara agresif bagi menyediakan liputan 5G, yang menjamin akses internet lebih cepat dan luas.