Saya teguh sebagai wakil rakyat DAP, Ahli Parlimen Mas Gading nafi lompat parti

Saya teguh sebagai wakil rakyat DAP, Ahli Parlimen Mas Gading nafi lompat parti

Mordi Bimol menegaskan masih setia untuk berjuang bersama parti asalnya dan Pakatan Harapan.

Morbi Bimol berjanji akan terus memberi khidmat terbaik kepada penduduk kawasan Parlimennya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol menafikan khabar angin konon akan melompat parti dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN)

Ahli Parlimen DAP itu menegaskan masih setia untuk berjuang bersama parti asalnya dan Pakatan Harapan (PH).

“(Khabar angin) itu tidak benar. Saya masih teguh sebagai wakil rakyat DAP serta PH,” kata Mordi.

Beliau berjanji akan terus memberi khidmat terbaik kepada penduduk kawasan Parlimennya, walaupun mengakui ketika ini, kegiatannya sedikit terganggu akibat masalah kesihatan.

“Masalah kesihatan sedikit mengganggu prestasi saya tapi bukan prinsip saya. Saya terlibat dalam politik bukan atas dasar minat, tapi tanggungjawab dan yang menghantar saya ke Parlimen adalah rakyat Mas Gading,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mordi berkata, setiap wakil rakyat pembangkang yang beralih kesetiaan kepada blok kerajaan mempunyai alasan mereka sendiri, namun beliau yakin isu utama adalah mengenai peruntukan khas bagi setiap kawasan Parlimen.

“Dari dulu hinggalah sekarang, hanya wakil rakyat blok kerajaan sahaja akan menerima peruntukan tersebut, tapi tidak blok pembangkang. Maka itulah salah satu modal yang digunakan untuk memancing wakil-wakil rakyat daripada blok pembangkang,” katanya.

Mordi menganggap hal ini wajar diberikan perhatian kerana budaya “lompat parti” yang diamalkan segelintir pihak mengakibatkan rakyat menerima padah.

“Wujudnya kerajaan pintu belakang hari ini adalah kesan daripada sikap segelintir pihak yang pentingkan diri dan tamakkan jawatan sehingga lupa nasib rakyat.

“Contohnya di Mas Gading, rakyat kawasan Parlimen ini menjadi mangsa kejadian lompat parti. Dengan sekelip mata, Mas Gading menjadi kawasan bawah Ahli Parlimen pembangkang dan serta-merta peruntukan bagi kawasan Parlimen ini ditarik balik,” katanya.

“Kenapa tidak ditarik balik elaun wakil rakyat yang melompat?”

Kenyataan Mordi menyusul DAP Sarawak yang beberapa hari lalu juga menyangkal dakwaan tersebut.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong keluar daripada PKR dan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Awal bulan ini, Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail daripada PKR mendakwa beliau dipujuk untuk menukar parti dan menyokong kerajaan PN serta Muhyiddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.