Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata, Saravanan sepatutnya menilai dan memperbetulkan terlebih dahulu tahap ketelusan Perkeso dalam menguruskan dananya sebelum menyentuh soal menaikkan kadar caruman.
“Berdasarkan rekod lampau, NUBE mendapati Perkeso tidak menguruskan dana, termasuk caruman pekerja dengan berhemah.
“Terdapat keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan khas mengenai pengurusan dana Perkeso,” kata beliau dalam kenyataan.
Dakwa beliau lagi, Perkeso turut dibelenggu beberapa pelaburan buruk dan pembaziran perbelanjaan sejak sekian lama.
Beliau turut mendakwa di kala organisasi itu ghairah melabur dalam projek-projek mega, pencarum Perkeso berdepan pelbagai kerenah birokrasi.
“Permohonan mereka kerap ditolak Perkeso atas pelbagai alasan yang tidak adil.
“Ada pencarum Perkeso terpaksa ke mahkamah bagi mendapatkan bantuan bulanan beberapa ratus ringgit,” kata beliau.
Malah, dakwa beliau, Perkeso membazirkan berjuta-juta ringgit untuk projek yang tidak menguntungkan dan tidak cakna mengenai kesulitan dialami pencarum.
“Semua ini menunjukkan seolah-olah menteri sumber manusia dan pengurusan Perkeso tidak mempunyai rasa empati terhadap pencarum.
“Mereka tidak menunjukkan tahap amanah tinggi untuk menjaga kepentingan pencarum Perkeso dan kini bercadang menaikkan caruman untuk memperolehi lebih banyak dana,” kata beliau.
Tambah beliau, langkah terbaru Perkeso untuk membelanjakan RM500 juta bagi pembinaan pusat rehabilitasi di Ipoh adalah satu contoh bagaimana Perkeso gagal melaksanakan amanah melindungi pekerja secara berhemah.
“Projek itu seharusnya dibiayai dengan peruntukan terus daripada kerajaan, bukannya menggunakan wang caruman pekerja dan majikan yang sepatutnya dilaburkan dalam projek yang boleh memberikan manfaat langsung kepada keseluruhan warga pekerja.
“Dianggarkan kos projek pusat pemulihan di Ipoh itu akan meningkat sekitar 20 hingga 30% seperti mana berlaku dalam pembinaan pusat pemulihan Perkeso sebelum ini di Melaka,” kata beliau, sambil memaklumkan kos perbelanjaan projek kendalian Perkeso di Melaka meningkat daripada RM200 juta kepada RM275 juta ketika ia siap pada 2014.
Selain itu, kata beliau, Perkeso juga membeli sebidang tanah premium di tengah Kuala Lumpur yang kini terbiar kosong, tanpa pulangan.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak menolak cadangan untuk mengkaji keperluan menaikkan kadar caruman Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Timbalan presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani sebaliknya menggesa sebelum suatu ketetapan dibuat, satu perbincangan antara wakil kerajaan, majikan dan pekerja perlu dilakukan melalui mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).
“Kami tidak mengatakan kami bersetuju atau membantah, tapi masalahnya tiada komunikasi dan perbincangan dibuat.
“Bagi kami, Kementerian Sumber Manusia boleh bawa isu ini dalam NLAC untuk dibincangkan secara terperinci kerana kenaikan RM1 atau RM2 yang diumum menteri tidak jelas,” kata beliau.
Menurut Effendy, mesyuarat NLAC bagi membincangkan isu-isu berbangkit sudah lama tidak diadakan. Kali terakhir ia diadakan adalah di awal pentadbiran kerajaan lalu.
Kata beliau, kerajaan juga perlu memperincikan faedah yang akan diperolehi, antaranya peluasan perlindungan keselamatan, penambahbaikan Skim “No Fault Accident” (NFA) dan pengurangan kerenah birokrasi.
“Kerajaan juga perlu mempertimbangkan juga sama ada sesuai atau tidak kadar caruman Perkeso dinaikkan di kala wabak Covid-19 kerana ketika ini, ramai pekerja berdepan masalah kekurangan pendapatan, pemotongan gaji dan kehilangan pekerjaan,” kata beliau, sambil memaklumkan langkah itu penting bagi mengelak pertelagahan antara majikan dan pekerja apabila dasar itu dilaksanakan.
Beliau berkata, selain cadangan menaikkan kadar caruman Perkeso, kerajaan juga perlu melihat sama ada pekerja yang bekerja dari rumah sepanjang perintah kawalan pergerakan turut diberi perlindungan sekiranya terlibat dengan kemalangan.
Semalam, Saravanan berkata, pihaknya sedang mengkaji keperluan menaikkan kadar caruman Perkeso tanpa membebankan rakyat.