Azeez gagal batal tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Azeez gagal batal tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Hakim Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Azeez dengan alasan pertuduhan tidak cacat.

Azeez, bekas pengerusi Tabung Haji, berdepan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM5.2 juta dan sembilan pengubahan wang haram sebanyak RM139.3 juta.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim, untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM144.5 juta.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Azeez dengan alasan pertuduhan itu tidak cacat.

“Tertuduh gagal menunjukkan bagaimana diri beliau diprejudiskan dan tidak dapat mengemukakan pembelaan,” katanya.

“Masih terlalu awal pada tahap ini bagi mahkamah membuat keputusan berhubung pertuduhan.”

Azeez, bekas pengerusi Tabung Haji, berdepan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM5.2 juta dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM139.3 juta.

Beliau dikatakan menerima RM5.2 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, di Lembah Klang antara Disember 2010 dan April 2018.

Azeez juga dituduh menerima RM139.3 juta daripada empat syarikat, iaitu Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd dan AVP Engineering Sdn Bhd.

Beliau mendakwa pertuduhan itu dibuat dengan niat jahat.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu pramatang dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Hakim berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat Azeez secara menyeluruh.

“Fakta ini menyangkal dakwaan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang itu berniat jahat (mala fide).

“Tertuduh juga berpendapat pertuduhan dan kes semasa tidak berkait dengan penyiasatan Tabung Haji,” kata beliau.

“Berhubung perkara ini, mahkamah harus menyebut bahawa peguam negara mempunyai budi bicara untuk memulakan prosiding jenayah terhadap tertuduh, berdasarkan undang-undang yang dianggap wajar.”

Peguam Azeez, Amer Hamzah Arshad, berkata, mereka akan memfailkan rayuan terhadap penolakan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram itu hari ini.

Abang Azeez, Abdul Latif, yang pada mulanya dituduh bersubahat dengannya atas dua pertuduhan memperoleh rasuah RM4 juta, yang merupakan sebahagian daripada RM5.2 juta yang didakwa diterima, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.