Kompaun RM10,000: Penawar yang lebih teruk daripada penyakit, kata Ahli Parlimen

Kompaun RM10,000: Penawar yang lebih teruk daripada penyakit, kata Ahli Parlimen

Menyifatkan langkah itu sebagai 'keras', Charles Santiago berkata mereka yang berasal daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana paling teruk terjejas.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, memberi kuasa kepada pegawai kesihatan awam untuk memutuskan jumlah denda adalah salah.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago membantah keputusan kerajaan mengenakan kompaun maksimum RM10,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP), seperti diumumkan Ketua Polis Negara (KPN) hari ini.

Beliau memberitahu FMT, ramai keluarga sedang bergelut untuk memenuhi keperluan hidup akibat kemelesetan ekonomi selain ada yang tidak bekerja, sambil menambah keutamaan mereka hanya untuk mencari rezeki buat keluarga.

Menyifatkan langkah itu sebagai “keras”, Santiago berkata mereka yang berasal daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana paling teruk terjejas berikutan langkah berkenaan. Beliau turut mengulangi, kompaun itu terlalu tinggi dan rakyat biasa tidak akan mampu menyelesaikannya.

“Saya percaya ada keperluan untuk mendenda dan mendisiplinkan orang, tetapi ia mesti pada tahap di mana orang ramai dapat menguruskannya. Tetapi ini tidak.

“Menetapkan denda mencecah RM10,000, rasanya seperti penawar yang lebih teruk daripada penyakit,” kata Ahli Parlimen DAP itu.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai kesalahan apa yang akan dikompaun, supaya dapat didedahkan kepada masyarakat untuk memastikan keseragamannya.

“Memberi kuasa kepada pegawai kesihatan awam untuk memutuskan (mengenai jumlah yang akan dikompaun) kedengaran tidak betul. Apa asas mereka untuk mendenda pesalah ini dengan RM10,000 dan pesalah yang lain RM3,000?

Penguatkuasaan kompaun RM10,000 bagi mereka yang melanggar peraturan PKP dan mereka yang menyebabkan penularan Covid-19 berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, pegawai kesihatan daerah kini mempunyai kuasa untuk menentukan nilai kompaun, sementara mereka yang dikompaun RM10,000 boleh memohon supaya ia dapat dikurangkan.

Santiago berkata, memberi pegawai kerajaan pilihan terbuka untuk membuat keputusan mengenai kompaun itu akan mendorong berlaku rasuah. Katanya, cara lain untuk menanganinya adalah dengan memberi hak mahkamah memutuskan jumlah yang akan dikompaun.

“Apa yang akan berlaku adalah, di satu kawasan kompaun kerana tidak memakai topeng adalah RM1,000 dan di kawasan lain pula RM2,000. Pesalah kemudian akan mempersoalkan mengapa kompaunnya lebih tinggi. Perlu ada keseragaman dalam cara kita menerapkan undang-undang.

“Tiada keseragaman di sini, yang ada hanya peraturan yang sewenang-wenang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.