
Ketua Penerangan Pemuda PPBM Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, Rais adalah presiden Dewan Negara, bukannya mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau mana-mana individu dalam kerajaan serta mewakilinya pada masa ini.
“Kenyataan Rais adalah pandangan peribadinya dan secara jelas ia tidak mewakili kerajaan seperti tuduhan beberapa entiti yang berniat jahat memburukkan kerajaan.
“Rais adalah presiden Dewan Negara, bukannya wakil SPR atau individu terlibat dalam kerajaan,” katanya.
Undi 18 merujuk kepada usul untuk menurunkan usia layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun.
Terdahulu Rais berkata, terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan dasar undi 18, walaupun selepas Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Beliau berkata, negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu, memandangkan proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun turut memakan masa lama.
Kenyataan Rais itu menyebabkan beberapa pihak seperti penaja kepimpinan muda Pejuang mendakwa beliau menghina proses demokrasi berparlimen.
Ashraf berkata, tohmahan segelintir pihak terhadap kerajaan persekutuan mengenai pelaksanaan undi-18 merupakan tanggapan yang dibuat untuk mencipta sentimen buruk.
“Ketidakfahaman ini adalah bukti pentingnya pendidikan politik kepada masyarakat dan anak muda.
“Malah terdapat parti politik yang secara jelas tidak faham asas kenegaraan dan demokrasi dalam negara,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda PPBM kekal dengan pendirian menyokong supaya dasar undi 18 dilaksanakan dan berharap ia berjalan lancar.
Katanya, ini memandangkan anak muda wajar diberikan hak untuk terlibat sama dalam menentukan corak pentadbiran negara.
“Pemuda PPBM sejak awal menyokong pelaksanaan undi 18. Anak muda sememangnya perlu diberikan hak untuk memilih.
Melalui kajian biro undang-undang Pemuda PPBM, majoriti anggota sayap itu menyokong pelaksanaan undi 18, katanya.
Pada 2019, Parlimen bersetuju untuk meminda perlembagaan persekutuan bagi membolehkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan bertanding sebagai calon dalam pilihan raya.
Undang-undang itu diwartakan secara rasmi pada September 2019.