Benar swap kadar faedah, isyarat positif BNM kepada pelabur global, kata penganalisis

Benar swap kadar faedah, isyarat positif BNM kepada pelabur global, kata penganalisis

Bank Negara Malaysia membenarkan bank bukan pemastautin memperdagangkan swap kadar faedah dalam denominasi ringgit berkuat kuasa 15 Mac ini.

Penganalisis berkata, langkah BNM membenarkan bank bukan pemastautin memperdagangkan swap kadar faedah dalam denominasi ringgit memberi isyarat bahawa mereka mempunyai instrumen dasar serta ruang untuk dimanfaatkan dalam pasaran kewangan.
KUALA LUMPUR:
Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan bank bukan pemastautin memperdagangkan swap kadar faedah (IRS) dalam denominasi ringgit berkuat kuasa 15 Mac ini, dilihat sebagai langkah positif oleh bank pusat.

Ia juga memberi isyarat bahawa mereka mempunyai instrumen dasar serta ruang secukupnya untuk dimanfaatkan dalam pasaran kewangan.

Penganalisis yang juga ketua ahli ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed berkata, tindakan sedemikian juga akan memperkukuh pasaran dalam negara serta memberi rangsangan sewajarnya.

“Ini memberi isyarat bukan sahaja untuk pelabur dalam negara, tetapi juga global bahawa Malaysia mahu bergerak secara agresif di peringkat ekonomi dunia dan BNM memainkan peranan dalam usaha tersebut,” katanya.

Shan Saeed.

Mengulas lanjut, Shan berkata, BNM juga sejak beberapa tahun lepas, terbukti bertindak secara strategic, selain mempunyai dasar monetari yang berhemat untuk menjalankan mandat bagi mengekalkan kestabilan dari segi pertumbuhan negara, harga serta pekerjaan.

“Ini memberi dorongan kepada pasaran kewangan. Malah, inilah juga alasannya mengapa pasaran kewangan di Malaysia agak cemerlang dengan bank lebih berdaya tahan dalam menangani kejutan luaran.

“Secara keseluruhannya, saya percaya negara mencatat prestasi agak baik dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

“Malaysia juga mengekalkan kestabilan mikroekonomi yang amat diutamakan oleh pelabur global,” katanya.

Yeah Kim Leng.

Sementara itu, profesor ekonomi di Universiti Sunway, Yeah Kim Leng menganggap langkah BNM membabitkan IRS sebagai inisiatif positif bagi membolehkan bank asing mengambil bahagian dalam pasaran swap kadar faedah dalam negara.

“Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan mudah tunai, malah mengurangkan kos lindung nilai bagi syarikat yang ingin berlindung daripada ketidaktentuan kadar faedah,” katanya.

Sementara itu, ahli ekonomi kanan UOB Malaysia, Julia Goh menyifatkannya sebagai perkembangan pasaran yang positif dan akan membantu pengukuhan kedudukan mudah tunai dalam pasaran IRS bagi denominasi ringgit.

Beliau berkata, keputusan BNM itu turut akan menyokong syarikat dan pelabur dalam menguruskan kos lindung nilai dan pendanaan mereka.

Julia Goh.

BNM pada Rabu mengumumkan bank bukan pemastautin boleh memperdagangkan IRS dalam denominasi ringgit tanpa sebarang komitmen asas dengan mana-mana bank tempatan dalam negara atau Pejabat Luar Negara Dilantik (AOO) mereka berkuat kuasa 15 Mac, 2021.

Bank pusat itu menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas positif yang diterima semasa tempoh program rintis.

“Fleksibiliti ini akan mendorong penyertaan bank bukan pemastautin dalam pasaran IRS dalam negara, seterusnya menggalakkan pasaran domestik yang lebih cair untuk mengurangkan kos lindung nilai kepada syarikat dan pengurus aset, dan kos pendanaan bank tempatan dalam negara.

“BNM dan FMC (Jawatankuasa Pasaran Kewangan) akan terus berbincang dan berinteraksi dengan peserta pasaran bagi menggalakkan pasaran kewangan dalam negara yang progresif dan teratur,” menurut bank pusat dalam kenyataan.

Pada November 2020, satu program rintis dilancarkan bagi memberikan fleksibiliti kepada bank dalam negara yang mengambil bahagian dan AOO mereka untuk memperdagangkan IRS denominasi ringgit dengan bank bukan pemastautin tanpa mengambil kira sebarang komitmen asas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.