
Presiden Persatuan Pelancongan Sabah (STA) Tony Chew berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, bas persiaran “tersadai”, sekali gus mengakibatkan pemandunya hilang mata pencarian.
Beliau berpendapat, langkah kerajaan membenarkan pelancongan merentas di antara negeri-negeri di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) tepat kerana penggiat industri pelancongan selama ini sudah cukup bertahan untuk meneruskan perniagaan mereka.
”Dasar ini langkah yang baik dan sangat dialu-alukan kerana bakal membantu penggiat industri, khususnya pengendali pelancongan berlesen yang memiliki banyak kenderaan pelancongan serta pemandu.
”Sebelum ini, sebilangan besar bas pelancongan hanya ‘tersadai’ dan pemandunya ‘terperangkap’ dalam keadaan tiada pendapatan selama hampir setahun,” kata beliau kepada FMT.
Chew berkata, langkah itu juga memberi peluang kepada pengusaha pelancongan untuk mendapatkan transaksi perniagaan seterusnya membantu pemandu kenderaan pelancongan.
”Para penggiat industri pelancongan sudah cukup bertahan selama ini, aliran tunai juga terjejas. Sekurang-kurangnya dengan membenarkan semula pelancongan merentas negeri ini, ia dapat memberikan ‘sedikit nafas’ untuk (kami) terus bertahan sehinggalah keadaan benar-benar kembali pulih,” kata beliau.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti pelancongan merentas negeri dibenarkan antara negeri-negeri di bawah PKPP menerusi program Gelembung Pelancongan Bersasar, mulai hari ini.
Kata beliau, aktiviti itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
”Pergerakan hanya menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan Motac. Pergerakan mengunakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan,” kata beliau.
Sabah adalah antara negeri-negeri di bawah PKPP, selain Melaka, Pahang, Terengganu dan Perlis serta Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.