
Setiausaha agung DAP itu berkata, Choong mengaku Muhyiddin menjanjikan jawatan rasmi yang akan memberikan platform kepadanya.
“Tidakkah ini satu umpan habuan untuk Steven Choong melompat parti?” katanya dalam kenyataan.
Beliau tertanya adakah SPRM akan membuktikan ia bebas, berkecuali, profesional, dan patuh kepada kedaulatan undang-undang dengan menyiasat perdana menteri.
“Sekurang-kurangnya, SPRM perlu menyatakan secara terbuka bahawa melompat parti kerana politik wang atau melalui pertukaran habuan adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan satu amalan rasuah,” katanya.
Lim berkata, pendedahan Choong itu mengingatkan beliau tentang suatu rakaman audio tahun lepas, dikatakan suara Muhyiddin, menawarkan jawatan politik dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan “sebagai pertukaran untuk sokongan politik”.
“Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, mendedahkan beliau menolak tawaran oleh perdana menteri untuk menjadi pengerusi Petronas kerana tindakan tersebut melanggar Perlembagaan.
“Ironinya, perdana menteri menjadikan pencegahan rasuah sebagai salah satu komitmen utamanya dalam kerajaan.”
Semalam, Choong dilapor berkata Muhyiddin menjanjikan jawatan rasmi yang akan memberikan platform kepadanya untuk membina semula ekonomi, mengatakan beliau akan meminta semua kementerian membincangkan isu secara bersama, sekiranya mempunyai kuasa.
“Saya tidak mahu jadi menteri, saya juga tidak mahu jadi timbalan menteri, saya juga tidak mahu menguruskan GLC (syarikat berkaitan kerajaan). Saya hanya mahu menyelesaikan masalah (akibat Covid-19).”