
Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham berkata, kenyataan Hamid dan Ismail tidak disokong oleh mana-mana peruntukan undang-undang.
“Saya telah memeriksa peruntukan undang-undang dan mendapati kenyataan mereka tidak disokong oleh mana-mana peruntukan undang-undang sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan supaya membetulkan berita palsu yang disebarkan oleh kedua-dua pihak terbabit berhubung peruntukan undang-undang bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 itu.
Katanya, tidak terdapat mana-mana peruntukan undang-undang bahawa kompaun sehingga RM10,000 hanya akan dikenakan ke atas individu melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) berulang kali serta mereka yang boleh mencetuskan penyebaran Covid-19.
Beliau mengulas kenyataan Hamid pada 27 Feb sebagai berkata kompaun RM10,000 hanya dikenakan terhadap individu melakukan kesalahan berulang dan Ismail pula pada 2 Mac memaklumkan orang ramai boleh membuat rayuan terhadap kompaun RM10,000 tersebut.
Dalam pada itu, bekas peguam berkenaan turut kesal dengan Adham dan Takiyuddin kerana gagal membetulkan kenyataan Hamid dan Ismail semasa mengeluarkan kenyataan media mengenai Akta Ordinan Darurat (EO) 2021 pada 3 Mac lalu.
Katanya, sehingga hari ini tiada perundangan subsidiari yang dibuat bawah EO 2021.
Jelasnya, setakat undang-undang subsidiari itu dibuat, ia memperuntukkan semua kesalahan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Jangkitan 1988 (Akta 342) seperti yang dipinda oleh EO 2021 akan menjadi kesalahan yang lazim boleh ditangkap.
“Polis akan menangkap menahan dan menyiasat seseorang yang disyaki melakukan sesuatu kesalahan bawah Akta 342.
“Ia meningkatkan hukuman umum bagi kesalahan-kesalahan bawah akta sama menjadi denda tidak melebihi RM100,000 dan atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun.
Ngeh berkata, ketua pengarah kesihatan atau pegawai yang diberi kuasa hanya boleh mengkompaun sesuatu kes dengan persetujuan secara bertulis daripada pendakwa raya.
Beliau merayu agar mahkamah mengambil maklum akan tindakan menyalahi undang-undang yang dilakukan polis serta tawaran kompaun (saman) yang dikeluarkan oleh polis secara tidak sah apabila ada kes dibawa ke mahkamah.
Bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang baru diwartakan, orang ramai yang didapati melanggar PKP akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac, manakala syarikat boleh dikompaun RM50,000.