PETALING JAYA: Kerajaan Arab Saudi menaikkan kuota haji bagi Malaysia sebanyak 10,000 jemaah daripada 31,600 tahun lalu, memenuhi permintaan daripada Putrajaya.
Ia menyusuli pertemuan antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud semalam.
Pertemuan itu kemuncak lawatan rasmi empat hari Muhyiddin ke negara itu.
Putrajaya meminta pertambahan kuota kerana populasi Malaysia sudah meningkat menjadi 31.95 juta orang, kata Muhyiddin menurut laporan Bernama.
Perdana menteri juga dilaporkan meminta keizinan bagi jemaah umrah Malaysia menunaikan ibadah tersebut secepat mungkin susulan wabak Covid-19.